Jelas sekali pengorbanan parti-parti dalam Pakatan akan memberi tamparan hebat kepada BN bagi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. - Nabila
ARIFFUDDIN ISHAK
'DUNIA baru' seperti yang digambarkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran permuafakatan gabungan tiga parti pembangkang paling berpengaruh iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP seakan baru menjanjikan kerlipan untuk mewarnai arena politik di Malaysia.
Gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) dibina atas dasar persefahaman politik kira-kira 20 bulan lalu selepas pilihan raya umum 2008, kini dilihat semakin dewasa terutama selepas berakhirnya Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama semalam.
Walaupun entiti politik kedua terbesar itu dibina secara tidak rasmi, namun kewujudannya sudah dirasai terutamanya bagi menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) yang sudah sekian lama mentadbir negara ini dengan begitu selesa.
Nampaknya gambaran 'dunia baru' oleh Nik Aziz semasa menyampaikan ucapan penggulungannya semalam di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan bukan satu kiasan biasa yang kosong tanpa maksud tersirat.
"Saya tengok dengan mata saya sendiri hari ini, saya rasa seperti berada dalam dunia baru... dunia yang sesuai dengan pendirian saya, dengan akidah dan agama saya," katanya.
Penantian sekian lama banyak pihak mengenai sejauh mana ikhlasnya permuafakatan yang terbina antara PKR-PAS-DAP akhirnya terjawab dengan lahirnya dokumen Dasar Pakatan Rakyat yang dipersetujui secara sebulat suara.
Pada akhir konvensyen semalam, semua perwakilan yang hadir mengangkat tangan tanda setuju menerima kandungan dasar empat perkara penting yang menjadi asas kepada pembentukan PR.
Secara simboliknya, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Guan Eng menandatangi dokumen bersejarah berkenaan tanda persefahaman.
Persoalannya adakah dengan pengukuhan PR bersandarkan Dasar Pakatan Rakyat yang ditandatangani itu membawa maksud akan berakhirnya hegemoni politik yang dikuasai BN di Malaysia?
Mampukah tsunami politik yang melanda negara pada 2008 berulang lagi pada pilihan raya umum akan datang dengan kesan pukulan yang lebih dahsyat?
Bagaimanapun setelah mengikuti keseluruhan konvensyen PR semalam, dapat disimpulkan bahawa jurang pemikiran antara barisan pimpinan dan perwakilan yang menyertai perbahasan begitu ketara terutamanya dalam menentukan hala tuju mereka.
Di atas kertas, empat dasar yang dipersetujui itu digariskan dengan agak jelas walaupun tanpa perincian, namun sebahagian besar daripada 18 pembahas masih lagi terikat dengan pemikiran yang sedikit terbelakang kerana menggunakan pentas sulung konvensyen berkenaan sebagai medan untuk 'menghentam' BN dan Umno.
Sepatutnya pembahas dari setiap parti komponen menggunakan peluang yang ada untuk mengemukakan pandangan atau kritikan mengenai mekanisme pelaksanaan dasar berkenaan yang masih kabur.
Mungkin keterujaan berbahas kali pertama di atas satu pentas yang sama sebagai satu gabungan membuatkan mereka hilang fokus sebenar konvensyen itu diadakan.
Perkara pokok yang terkandung dalam dasar berkenaan ialah PR akan tetap mempertahankan Pelembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman.
Selain itu, PR juga akan tetap melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan kaum-kaum lain di negara ini sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan memartabatkan bahasa Melayu selari dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Jika diteliti kandungannya secara terperinci, ternyata mereka masih berpegang teguh kepada prinsip utama kandungan Perlembagaan Persekutuan.
Malah Anwar turut mengakui bahawa kesemua elemen yang terkandung dalam dasar berkenaan tetap berpegang kepada prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kita sekadar ulangi prinsip Perlembagaan yang umum, itu kita lakukan dulu dan kemudian kita mantapkan.
"Tapi kenyataannya sekarang ialah adanya perjanjian baru dalam sejarah Malaysia iaitu dengan lahirnya generasi yang telah matang," katanya semalam.
Bagi situasi ini, tentunya terdapat antara komponen PR yang terpaksa 'pejam mata' mengenai beberapa dasar terutamanya apabila melibatkan isu bahasa dan agama Islam.
Namun atas dasar penyatuan matlamat politik yang sama, banyak pengorbanan perlu dilakukan walaupun masing-masing mempunyai agenda dan dasar pejuangan politik yang berbeza.
'Pengorbanan' pertama yang turut mencuri tumpuan pada konvensyen semalam ialah apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh sanggup duduk bersebelahan Nik Abdul Aziz.
Malah Karpal sendiri dalam ucapannya secara berseloloh berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bersama Menteri Besar Kelantan itu bagi merealisasikan hasrat bersama dalam PR.
"Apa masalah? Tidak ada apa-apa masalah, bukan sahaja saya duduk sebelah Tuan Guru Nik Aziz, tapi pertengahan (antara) Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan.
Jelas sekali pengorbanan Karpal itu akan memberi tamparan hebat kepada BN kerana PR akan melakukan apa sahaja untuk meraih sokongan rakyat bagi memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti.
Mungkin juga 'dunia baru' yang digambarkan Nik Abdul Aziz semalam ada kaitan dengan hubungan sesama mereka dalam PR dan seterusnya melupakan segala persengketaan yang wujud demi mencapai satu hasrat bagi 'menawan' Putrajaya.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan