Pas Dah Mula Masuk Jarum, MIC Tunggu Apa Lagi...

Sabtu, 26 Disember 2009

Islam syumul, dakwah PAS adalah menyeluruhan. PAS bukan sahaja bandan politik tetapi badan dakwah. - Nabila

B. ANBUMANI

"Jemputlah beramai-ramai ke majlis High Tea bersama masyarakat India - Anjuran Pas Wangsa Maju " begitulah pendekatan yang digunakan oleh Pas bagi mempengaruhi masyarakat India di Kuala Lumpur ketika ini.

Mungkin Barisan Nasional (BN) dan MIC terlepas pandang langkah tersebut tetapi pendekatan tersebut boleh membawa padah kepada BN khususnya MIC pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-13 nanti sekiranya tidak ditangani segera.

Pas dikatakan mengunakan kaedah yang cukup sederhana untuk mendekati masyarakat India, minum petang sambil beramah mesra. Penganjur dikatakan tidak mensasarkan kumpulan yang besar. Kehadiran kelompok kecil cukup untuk melengkapkan "korum" dan misi yang dirancang. Mereka dikatakan bergerak dari satu parlimen ke satu parlimen di Kuala Lumpur.

Walaupun masyarakat India tidak mudah terpengaruh kepada Pas sebelum ini, namun sejak PRU yang ke 12, memang tidak dinafikan sudah ada yang mula menyokong Pas setelah parti tersebut menerima masyarakat India dan Cina sebagai ahlinya - melalui Kelab Penyokong Pas.

Segelintir masyarakat India mula menyokong Pas kononnya kerana dasar keterbukaannya dalam politik arena nasional. Apakah langkah parti Pas ini akan membuka peluang untuk lebih ramai calon dari keturunan India bertanding atas tiket Pas pada PRU ke-13 nanti ataupun parti tersebut sekadar mencuri peluang untuk memperkasakan jentera parti.

Apa sekalipun alasannya, gerak-geri Pas untuk mendekati masyarakat India di Kuala Lumpur di lihat sebagai "taktik politik Pas" untuk memperkasakan jenteranya di Kuala Lumpur. Apakah masyarakat India akan terperangkap dengan permainan politik Pas ini?

Pas juga dikatakan sedar bahawa undi dari masyarakat India boleh menentukan kemenangan di beberapa kawasan parlimen di Kuala Lumpur - yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat di 10 kawasan Parlimen manakala BN hanya menang di Setiawangsa (selain Putrajaya dan Labuan).

Pada PRU yang ke-12, Pas tewas di Putrajaya dan Labuan. Pas menang di Parlimen Titiwangsa yang menjadi kubu kuat UMNO sebelum ini. Kemenangan Dr Lo ' Lo Ghazali di Titiwangsa telah memberikan semangat baru kepada Pas di Kuala Lumpur kerana berjaya menguasai parlimen Titiwangsa yang begitu akrab dengan UMNO, diklasifikasikan sebagai " markas UMNO " yang melibatkan Kampung Baru - penuh dengan sejarahnya sebagai perkampungan melayu yang tersohor di Malaysia.

PERATUSAN PENGUNDI INDIA

Peratusan pengundi masyarakat India di Kuala Lumpur menyaksikan Lembah Pantai merupakan paling tinggi iaitu sebanyak 20% dan di susuli Batu 16 %, Segambut 14 %, Titiwangsa 11 %, Setiawangsa 10 % , Bukit Bintang 10 %, Wangsa Maju 8 %, Bandar Tun Razak 8 %, Cheras 7 % dan Kepong 5 %.

Malah pada PRU yang ke-12, BN tersungkur di Lembah Pantai, Batu dan Bandar Tun Razak kerana rata-ratanya undi masyarakat India memihak kepada pembangkang disebabkan antara lain kerana isu Hindraf, penempatan semula setinggan, pembangunan sekolah tamil dan sebagainya.

Bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak , Datuk Seri Tan Chai Ho yang sebelum ini begitu gah di Parlimen Bandar Tun Razak selama tiga penggal, akhirnya tertewas juga kerana pengundi masyarakat India yang sebelum ini menjadi penyokong kuat BN mengundi calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana isu tanah Sekolah Tamil Bukit Jalil.

Titisan air mata Tan Chai Ho ketika tewas di Bandar Tun Razak masih sukar untuk dilupakan apabila kita membicarakan landskap politik Kuala Lumpur.

Namun, isu Sekolah Tamil Bukit Jalil dapat diselesaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru - baru ini. Kehadiran Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ke sekolah tersebut telah menyelesaikan banyak masalah yang tertangguh sebelum ini.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga kehilangan undi masyarakat India di semula saluran majoritinya pengundi India di Lembah Pantai. Malah kekalahan Shahrizat diketahui seawal 7.30 petang semasa hari pengundian pada PRU yang ke-12.

KEYAKINAN BARU MIC

Baru-baru ini, ketika berucap di majlis Malam Amal Deepavali MIC Bahagian Setiawangsa, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Datuk M.Saravanan menjanjikan sejumlah 70 % pengundi India di ibu kota akan menyokong BN pada PRU yang ke-13 nanti.

"Ini akan menjadi KPI saya sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan," katanya di hadapan Datuk Raja Nong Chik yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Walaupun Saravanan kelihatan begitu yakin dengan masa depan MIC di Wilayah Persekutuan dan juga sokongan kembali masyarakat India kepada BN namun MIC perlu memantau pergerakan Pas.

Walaupun majlis mereka tidak semeriah majlis anjuran BN tetapi percaturan dalam politik perlu mengambil kira banyak aspek termasuk strategi secara senyap, perang saraf, perang psikologi dan kempen pendaftaran pengundi baru.

Barang diingat, penganjuran majlis secara besar-besaran tidak semestinya menjanjikan kemenangan kepada BN. Yang penting suara pengundi itu sendiri. MIC dan BN di Kuala Lumpur perlulah mencari pendekatan yang lebih efektif untuk memenangi hati masyarakat India di Kuala Lumpur.

MIC pula perlu belajar dari kesilapan yang lampau - dan perlu mengambil iktibar daripada tsunami PRU ke-12. Pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf di mana MIC dan Gerakan merupakan antara dua buah parti politik yang paling lembab membantu badan tersebut mendaftarkan pengundi baru sejak PRU yang ke-12 patut diberikan perhatian segera oleh MIC.

PERLU ADA PERANCANGAN

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu pula telah mengutus surat kepada seramai 3,600 ketua cawangan MIC di seluruh negara supaya memastikan semua ahli MIC di cawangan masing-masing akan peri pentingnya pengundi baru dan mengenalpasti pengundi luar.

"Ahli-ahli MIC perlu memastikan berapa ramai anggota MIC yang berjumlah 630,000 ketika ini betul-betul menjadi pengundi sekiranya kita mahu memperkukuhkan jentera parti," kata Samy dalam surat terbukanya kepada semua Ketua cawangan.

Apakah perancangan MIC di WP? MIC Wilayah Persekutuan perlu melipat gandakan usaha untuk menganjurkan lebih banyak program pendaftaran pengundi baru dan penyemakan pengundi baru secara kecil-kecilan di setiap kawasan perumahan khususnya di kawasan PPR sambil beramah mesra.

Penduduk yang pernah tinggal di kawasan setinggan yang kini telah berpindah ke kawasan PPR juga perlu diutamakan. Sekiranya masih ada yang menetap di kawasan setinggan - dekatilah mereka supaya tidak ada pihak tertentu cuba mempengaruhi mereka. Memang sukar untuk memuaskan hati penduduk setinggan tetapi lambat laun hati mereka menjadi lembut jua sekiranya terjalin hubungan mesra dua hala.

Cawangan dan Bahagian MIC di Kuala Lumpur perlu bangkit untuk menjayakan misi pendaftaran kempen pengundi muda dan pengundi baru. MIC hanya dapat diperkasakan sekiranya parti tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat India.

Ingatlah, masa semakin suntuk, manakala cabaran politik semakin getir.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan