Isu Pindah Kubur Hindu Selesai: Azizan

Rabu, 23 Disember 2009

Dalam diam-diam perkara yang sukar boleh diselesaikan jika tak ada yang menjadi batu api. Susahnya batu api kadang kala berada didalam selimut sendiri. - Nabila


ALOR SETAR: Isu pemindahan kubur Hindu di tapak kampus Kolej Universiti Insaniah, di Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil dekat sini, dianggap selesai selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan waris serta persatuan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, lebih 100 kubur selesai dipindahkan dan kerja pembinaan kampus berkenaan kini diteruskan dan dijangka siap menjelang 2012.

"Kes ini sudah selesai walaupun peringkat awal ada salah faham. Kita telah memberi penerangan kepada persatuan Hindu Sangam dan mereka dah faham," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kubur berkenaan dipindahkan ke kawasan baru yang terletak empat kilometer dari tapak lama dan setiap waris yang terbabit dibayar RM3,000.

"Kerajaan negeri turut menyediakan sebidang tanah seluas satu hektar bernilai RM500,000, untuk masyarakat India di kawasan berkenaan bagi pembinaan dewan orang ramai," kata Azizan.

Baru-baru ini, kekecohan berlaku apabila lebih 300 penduduk termasuk waris kepada ahli keluarga mereka yang dikebumikan di tanah perkuburan itu, membantah pemindahan kubur itu kerana mendakwa tanah perkuburan seluas 0.8 hektar itu, merupakan sumbangan seorang pemilik ladang kepada pekerja ladang di kawasan berkenaan.

Mengenai satu perkara lain, Azizan berkata, penswastaan pengurusan bekalan air yang akan diuruskan Syarikat Air Darul Aman (Sada) di negeri ini, akan bermula Januari tahun depan.

Beliau berkata, Sada kini dalam proses membuat tawaran kepada kakitangan Jabatan Bekalan Air sama ada ingin terus berkhidmat dengan syarikat baru itu atau berhenti secara pilihan.

"Ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan juga telah dilantik dan namanya akan diumumkan kemudian," kata Azizan.

Mengenai kadar baru yang bakal dikenakan, beliau berkata, ia terpulang kepada pengurusan baru, mungkin ada penambahan (kenaikan), tapi harap tidak membebankan rakyat dan kerajaan negeri. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan