Persiapan jentera parti perlu dibuat sepanjang masa. - Nabila
LENGGONG - Ketua Penerangan Pas Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menggesa supaya Muslimat pelbagai peringkat di seluruh negeri Perak menyiapkan jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja.
Menurutnya, mana-mana kawasan dan juga cawangan, khususnya membabitkan jentera Muslimat yang masih belum bersiap sedia, diingatkan supaya tidak melengah-lengahkannya lagi dalam hal ini.
“Walaupun jangkaan kita sebelum ini pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan diadakan pada penghujung November, bagaimanapun tidak berlaku, tetapi tidak bererti tidak akan diadakan langsung.
“Kalaupun tidak berlaku dalam waktu terdekat, pilihan raya umum yang ke-13 pasti akan diadakan juga dan persiapan mesti kena buat juga,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Muslimat Pas Kawasan Lenggong di Surau Kampung Gua Badak di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan, Razman Zakaria; Timbalan YDP, Mohd Kushairi Ariffin dan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Lenggong, Hapipah Mat Saman.
Khalil berkata, melihat suasana mutakhir di Perak, memaksa seluruh rakyat negeri ini membuat persiapan lebih awal kerana kemungkinan besar DUN Perak akan dibubarkan pada bulan April 2010.
Katanya, sekiranya benar-benar berlaku pembubaran DUN pada ketika itu, pilihan raya akan diadakan dalam masa 60 hari selepasnya, bererti bukanlah satu jangka masa yang panjang untuk membuat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapinya.
Menurutnya, mulai Januari 2010 semua jentera pilihan raya di seluruh negeri kena adakan satu ceramah setiap bulan sekurang-kurangnya sepertimana dilakukan Pas Kelantan.
Jentera Muslimat kawasan digesa mengarahkan jentera Muslimat di peringkat Unit Peti Undi (UPU) membuat persiapan dan adakan lawatan ke semua UPU mulai Januari nanti.
Terdahulu, Khalil turut mengingatkan semua Muslimat, sebagai perjuangan di dalam gerakan Islam, ia juga adalah perjuangan untuk menegakkan Agama Allah yang diwariskan oleh para Rasul sehingga kepada Nabi Muhammad SAW.
“Tidak ada perkara yang tinggi darjatnya di sisi Allah (SWT), melainkan kerja-kerja yang dibuat terhadap apa yang ditinggalkan oleh para Rasul dan perjuangan kita adalah penerus kerja-kerja Nabi.
“Perjuangan Islam adalah mata rantai daripada perjuangan yang dibawa oleh para Rasul dari Adam sampai Muhammad SAW,” katanya.
Sehubungan itu katanya, semua pihak harus yakin bahawa perjuangan yang diterajui Pas adalah perjuangan untuk menegakkan kebenaran selaras dengan perjuangan para Rasul.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan