Dua pegawai MB Kelantan dijangka ditukar

Selasa, 29 Disember 2009

Kelantan tidak pernah lekang dek isu, tapi alhamdulillah Tok guru masih utuh. - Nabila

KOTA BHARU 28 Dis. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka mengumumkan rombakan Pejabat Menteri Besar Kelantan yang melibatkan dua pegawai kanannya dalam mesyuarat Dewan Harian Pas esok.

Kontrak perkhidmatan Setiausaha Politiknya, Anual Bakhri Haron dan Setiausaha Akhbar, Mohd. Saiba Yaakob yang masing-masing telah berkhidmat selama hampir 11 tahun dan lapan tahun dengan Nik Abdul Aziz dipercayai tidak akan disambung.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas dijangka memaklumkan langkah itu semasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan sebelum membuat pengumuman secara rasmi.

Notis pengguguran mereka dikatakan telah dikeluarkan hari ini dan akan berkuat kuasa Februari ini.

Namun Mohd. Saiba, 40, memberitahu Utusan Malaysia hari ini, beliau tidak menerima notis berkenaan.

''Tidak ada hitam putih, tetapi saya telah mendapat maklum. Ia cuma melibatkan saya dan Anual.

''Namun esok Nik Abdul Aziz akan bermesyuarat dan apa-apa pun akan diketahui esok," katanya yang kontrak perkhidmatannya tamat 3 Februari depan.

Langkah itu dikatakan sebahagian daripada usaha Nik Abdul Aziz yang tidak mudah terjebak dalam kontroversi seperti yang dilalui sepanjang tahun ini.

Menurut Mohd. Saiba, beliau telah 'penat' memikul tanggungjawab itu dan sememangnya mengharapkan peluang untuk terus melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) dan terlibat dalam dunia akademik.

Anual Bakhri dan Mohd. Saiba sebelum ini dilaporkan oleh portal berita menafikan mereka menerima makluman berkaitan perubahan kedudukan mereka.

Bagaimanapun Anual Bakhri tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan, Mohd. Zaki Ibrahim dilaporkan berkata, beliau ada mendengar perkara tersebut tetapi tidak secara rasmi.

"Bukan sesuatu yang luar biasa kerana selaku Menteri Besar, Tok Guru ada bidang kuasa untuk menukar dan menggantikan pegawai-pegawainya," ujar beliau.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan