Chin Peng dan patriotisme yang kabur

Selasa, 15 Disember 2009

Perjuangan untuk Chin Peng pulang nampak begitu bersungguh-sungguh dan menlibatkan semua masyarakat Cina di negara ini. Berbeza dengan Melayu yang asyik bertengkar sesama sendiri - Nabila

Zukri Aksah

Kenapa tajuk tulisan saya kali ini begini? Ya, sebab saya pernah menulis tentang Chin Peng dengan tajuk yang serupa bila dahulu terbitnya memoir tentang beliau. Nama Chin Peng dan komunis telah sedari kecil diajar kepada kita sebagai sesuatu yang bangsat, padahal pada waktu yang sama negara kita sedang mengukuhkan hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar komunis dunia seperti China dan Cuba.

Saya boleh memahami geloranya perasaan keluarga askar-askar negara kita yang pernah tercedera atau gugur di medan perang ketika menentang apa yang dipanggil sebagai pemberontakan komunis. Tetapi, ketika kita asyik mengira askar-askar kita ini, terlupakah kita untuk turut mengira berapa ramai pula gerombolan askar British dan Jepun yang menjadi mangsa hujung senapang komunis yang kita sumpah-seranah ini? Tidakkah British dan Jepun pra 1957 ini adalah penjajah yang sememangnya patut dilawan dan ditentang?

Andainya selepas ini (walaupun saya minta dijauhkan) ada bangsa lain pula yang datang memerangi dan menjajah negara kita, saya ingin juga bertanya, siapakah di antara kita yang punya keberanian untuk masuk dan hidup di dalam hutan sebagai gerila semata-mata kerana kepercayaan kepada sebuah perjuangan yang tidak tentu masa hadapannya?

Chin Peng dan kawan-kawannya, ada yang Cina, ada yang Melayu dan ada yang India pernah melakukannya. Berhakkah kita yang penakut dan pengecut ini mempersoalkannya? Kita yang hanya berani menjulang keris ke langit, kita yang hanya berani membakar poster, kita yang hanya berani mengheret kepala lembu?

Soal Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM) meneruskan pemberontakan selepas Malaya merdeka 1957 bagi saya tidak lebih sekadar isu pertembungan ideologi dan kepercayaan. Munkin salah bagi Chin Peng untuk meneruskan aktiviti gerilanya setelah British dan Jepun sudah berundur ke negara masing-masing. Tetapi ia sudah menjadi sejarah, saya katakan Chin Peng pernah bersalah dengan pendekatannya itu kerana hari ini PKM sudah tiada, PKM sudah meletak senjata, PKM tidak lagi bergerila di rimba-raya negara kita.

Tidak bolehkah kita cuba sedikit berlapang dada dan bersikap memaafkan? Hari ini isu Chin Peng kembali menghiasi dada-dada akhbar kerana beliau mahu pulang ke Malaysia, mahu mati sebagai rakyat Malaysia dan telah memohon maaf akan tindakan-tindakan lalu oleh PKM. Siapakah kita yang mahu mempertikaikan keihklasan niat permohonan maaf beliau itu? Lebih dari itu, apakah kita yang mempertikaikan itu pula ikhlas?

Nepal pernah mempunyai gerila-gerila komunis yang bergelandangan di dalam hutan. Mereka kemudiannya keluar dari hutan, bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah dan bertanding dalam pilihanraya, mereka menang! Ketika mana bekas-bekas gerila ini memerintah Nepal, bukankah askar negara Nepal itu adalah askar yang sama yang memerangi mereka ketika mereka masih berstatus sebagai gerila dahulu? Tidak adakah askar Nepal yang pernah tewas di tangan mereka ini?

Mereka bersikap terbuka, mereka ambil sejarah lalu sebagai iktibar di hari muka, bahawa peperangan hanya kerana pertembungan ideologi adalah sesuatu yang tidak memanfaatkan rakyat dan negara, maka mereka pun berubah tanpa menyisihkan sesiapa pun. Tidak bolehkah kita juga pun begitu? Tutup buku lalu dan membuka lembaran baru?

Adalah satu hujah yang dangkal untuk mengatakan bahawa dengan pulangnya Chin Peng ke Malaysia memungkinkan untuk tersebarnya semula fahaman Marxisme-Leninisme di negara ini. Tanpa ada kelibat Chin Peng pun, hari ini kita sudah mempunyai Parti Sosialis Malaysia yang sah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Asasnya mudah, gerakan sebegini akan muncul dan menjadi kuat bila pekerja-pekerja kelas bawahan merasa mereka ditindas dan tidak dipedulikan, noktah! Bukan kerana Chin Peng.

Selagimana kita yakin kita adalah rakyat negara ini dan berbangga dengan kewarganegaraannya, selagimana kita percaya kita walaupun sedikit telah menyumbang dan berbakti untuk kesejahteraan negara ini, selagimana kita bersedia untuk berkorban demi negara ini (walaupun seringkali berhujah “berkorban dengan cara aku sendirilah”), selagi itulah kita masih seorang patriot.

Bagi seorang patriot, patriotisme adalah jalannya. Dalam masa lalu yang menjadi sejarah itu, jalan yang dipilih sesetengah patriot mungkin tidak lurus dan bengkok, maka perjalanan menjadi proses bagi membetul dan meluruskannya. Setelah ia lurus, tidak bolehkah kita bersatu dan bersama kembali?

Tiada satu dosa pun yang tidak terampun.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan