Mahathir pertikai pembelian pesawat baru ganti MiG-29N

Selasa, 29 Disember 2009

Semua orang tak betul, yang betul dia buat. Lantik semula Tun Mahathir jadi PM. Itulah komen saya. - Nabila

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan langkah kerajaan yang disifatkannya sebagai tidak bijak apabila memilih untuk menggantikan pesawat MiG-29N dengan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang lain.

Bekas Perdana Menteri itu amat berharap supaya kerajaan membatalkan keputusan tersebut dan memilih untuk membaik pulih pesawat MiG-29N sedia ada.

Beliau turut menarik perhatian dengan menyatakan, penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar sehingga berjuta-juta ringgit kepada orang tengah.

"Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan menukar MiG-29 untuk beli (pesawat) yang baru?" katanya dalam entri terbaru bertajuk MiG-29 dalam blognya, www.chedet.co.cc hari ini.

Dr. Mahathir juga mempertikaikan kewajaran kerajaan mengesahkan bahawa pesawat pejuang itu sudah tidak dapat digunakan lagi, walhal usianya belum mencecah 20 tahun.

Menurut beliau, banyak negara lain yang turut menggunakan pesawat itu seperti India masih menggunakannya tanpa sebarang masalah dan tidak bertindak menukarkannya kepada pesawat lain.

"Saya percaya ada cara untuk baik pulih pesawat pejuang dan pesawat lain. Tak bolehkah kita baik pulih MiG-29N ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh.

"Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan jutaan hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," katanya.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah berbanding buatan Amerika Syarikat (AS), tetapi sejumlah wang yang besar masih terpaksa dibelanjakan untuk menukar kepada pesawat baru yang sudah pasti akan menelan kos jutaan ringgit.

"Dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah kita belanja ratusan juta untuk pesawat ganti?

"Pesawat AS kononnya tahan lebih lama. Tetapi kita perlu ingat apabila duit untuk membeli MiG-29 diguna untuk beli pesawat F/A-18, akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh AS," katanya.

Jelas beliau, pihak AS tidak akan memberikan source code atau kod teknikal yang akan mengehadkan kegunaan pesawat F/A-18 itu dan akhirnya digunakan untuk tujuan pameran sahaja.

Pada 28 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang Dewan Rakyat memberitahu, kerajaan sedang meneliti MRCA yang dikeluarkan empat negara iaitu AS, Perancis, Itali dan Sweden bagi menggantikan MiG-29N yang akan ditamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember tahun depan.

Menurut Ahmad Zahid, pembelian MRCA itu tidak akan melibatkan pesawat dari Rusia berikutan pengalaman pahit kerajaan apabila terpaksa membelanjakan kos tinggi RM260 juta setahun untuk menyenggara semua pesawat MiG-29N.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan