JOHOR BAHRU 22 Jan. - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja hari ini bersumpah untuk memerintah dengan adil dan saksama.
Lafaz pemasyhuran itu dilakukan pada pukul 5.10 petang dalam satu upacara di Istana Besar di sini.
Tunku Ibrahim Ismail, 52, dilantik oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor di sini.
Pada sidang akhbar pukul 11.20 malam ini, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan kemangkatan Sultan Johor pukul 7.15 malam.
Pemasyhuran Tunku Ibrahim Ismail dibuat mengikut Fasal 9 (1)(b) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895.
Lafaz pemasyhuran itu adalah seperti berikut:
"Bahawa adalah saya, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar pada masa memegang jawatan Pemangku Raja bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta'zim dan segala takluknya bersumpah dengan iman bahawa saya mengaku akan memerintah dengan adil saksama dan timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk-penduduk negeri Johor dan saya bersumpah dan mengaku akan memelihara dan menghormatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang kuat dengan Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor dan juga Undang-undang Negeri,"
Putera sulung Sultan Johor dengan isteri pertama, Josephine Ruby Trevorrow itu diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Tunku Ibrahim Ismail yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985.
Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.
Tunku Ibrahim Ismail mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.
Tunku Mahkota Johor itu kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammer School di Australia mulai 1968 hingga 1970.
Tunku Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) pada 1971-1975.
Di samping itu, Tunku Ibrahim Ismail turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.
Setelah tamat persekolahan, Tunku Mahkota telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.
Kemudian Tunku Ibrahim Ismail ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS) untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, AS.
Tunku Mahkota turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, AS untuk latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying's School dan menerima anugerah 'sayap' penerbangannya.
Selain itu, Tunku Ibrahim Ismail juga pernah melanjutkan pengajian di bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tufts, AS.
Dalam bidang kesukanan, Tunku Mahkota gemar bermain polo selain menunggang motosikal berkuasa tinggi dan sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan