Bapa 'terbuang' ditempatkan di rumah kebajikan

Selasa, 19 Januari 2010

KANGAR 18 Jan. - Warga emas, Othman Samah, 60, yang ditinggalkan sendirian oleh keluarganya minggu lalu, ditempatkan sementara di Rumah Kenangan Tanjung Rambutan, Perak selama 30 hari mulai hari ini.

Keputusan itu dibuat Majistret Mageshwary Muniandy mengikut peruntukan di bawah Akta Orang- Orang Papa 1977.

Permohonan bagi menempatkan Othman di rumah tersebut dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Mansur Jusoh berkata, JKM akan memanggil ahli keluarga Othman untuk berbincang dan memujuk mereka mengambil semula hak penjagaan lelaki itu.

"Keputusan itu dibuat kerana kita mendapati ahli keluarga warga emas ini berkemampuan untuk memelihara bapanya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, JKM mempunyai tempoh 30 hari untuk memujuk ahli keluarga itu namun jika gagal, Othman akan terus ditempatkan di rumah penjagaan JKM.

Pada Jumaat lalu, akhbar melaporkan mengenai nasib malang Othman yang dikatakan dibuang anak sendiri setelah dia mendapatkan rawatan pembersihan darah di sebuah pusat rawatan hemodialisis di Seriab.

Dia yang berasal dari Kampung Guar Kehor, Kodiang, Kedah dihantar ke pusat itu oleh anak lelakinya untuk rawatan mingguan bagaimanapun anaknya itu tidak datang semula untuk mengambil bapanya.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan