Pas dipelawa sertai Juara Rakyat

Jumaat, 15 Januari 2010

ALOR SETAR - UMNO mempelawa pemimpin Pas menyertai program Juara Rakyat jika ingin tahu secara terperinci program dan sumber kewangan untuk membiayai program itu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, desakan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang mahu penjelasan sumber peruntukan program Juara Rakyat seolah-olah menuding kepada diri sendiri.

“Kita bukan seperti Pakatan Rakyat yang menggunakan duit rakyat untuk menganjurkan program untuk rakyat seperti yang berlaku di Selangor.

“Dakwaan Mahfuz itu seolah-olah mengata kepada diri sendiri kerana ia tidak berlaku dalam UMNO,” katanya ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena itu, yang mempertikai sumber peruntukan program Juara Rakyat dan meminta penjelasan bagi mengelak tanggapan wang rakyat disalahgunakan untuk kepentingan politik UMNO.

Ir Nawawi berkata penyertaan Pas amat dialu-alukan kerana program berkenaan adalah untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan parti politik.

“Saya alu-alukan jika Pas mahu bagi sumbangan atau bekerjasama untuk menyertai program itu kerana ia disasarkan kepada semua rakyat termasuk ahli Pas,” katanya.

Menurutnya, mana-mana individu, ahli perniagaan mahupun pemimpin politik dipelawa menyumbang dana atau menyertai program Juara Rakyat.

“Program sudah pun ada, tidak salah jika ada parti lain ingin hulurkan sumbangan bagi menjayakannya untuk manfaat rakyat. Ingin saya tegaskan bahawa program ini bukan untuk ahli UMNO tetapi semua orang boleh sertainya dan terpulang kepada ahli parti lain sama ada mahu atau tidak,” katanya.

Ir Nawawi berkata, UMNO mempunyai dana sendiri dan mampu menganjurkan program secara besar-besaran untuk rakyat tanpa perlu menggunakan wang hasil titik peluh rakyat.

Menurutnya, tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada UMNO sekadar mencetuskan isu baru untuk mengaburi mata rakyat.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan