Umno Jangka Pas Akan Bertindak 'Luar Biasa' Mahu Rampas Kerusi Merlimau

Rabu, 9 Februari 2011

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Umno sedia berhadapan dengan PAS yang dijangka akan menggerakkan jenteranya habis-habisan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, selepas beberapa siri kekalahan PAS menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil sebelum ini, parti itu pastinya akan bertindak 'luar biasa' untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini.

"Kita dapat jangkakan mereka akan bertindak luar biasa dan pasti akan cuba sedaya upaya memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Bagaimanapun kita tidak gentar dan sedia memberi saingan kepada PAS," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semalam yang bersetuju agar PAS mewakili pakatan pembangkang itu di Merlimau.


Keputusan itu sekaligus menenggelamkan hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut menawarkan diri bertanding di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Umno optimis untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau yang menjadi kubu kuat parti itu.

Bagaimanapun Ahmad menegaskan, Umno tidak memandang rendah kekuatan jentera parti pembangkang terutamanya dalam setiap pilihan raya kecil.

"Setiap kali pilihan raya memang kita nak menang dan kita yakin gelombang yang berlaku di pilihan raya kecil DUN Tenang akan berlaku di Merlimau, insyaAllah kita akan berusaha kekalkan penguasaan di Merlimau.

"Tapi pada masa yang sama kita tak memandang rendah kekuatan yang ada pada mereka, kita akan berusaha untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Mengulas mengenai tahap penerimaan awal pengundi di DUN berkenaan, Ahmad berkata: "Keadaan di Merlimau dan Melaka dari segi ekonomi dan politik begitu baik.

"Kita yakin rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada BN untuk terus memperjuangkan nasib mereka... sebab itu saya katakan peluang kita amat baik namun kita tidak akan berasa terlalu yakin, kita perlu kerja keras."

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari lalu. Ia pilihan raya kecil ke-15 sejak Mac 2008. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir yang juga Exco kerajaan negeri menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Merlimau ditetapkan 26 Februari ini, manakala 6 Mac sebagai tarikh pengundian. DUN Merlimau mempunyai 10,679 pemilih berdaftar.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan