Peguam, keluarga Beng Hock tarik diri

Khamis, 17 Februari 2011

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang di sini hari ini dikejutkan oleh tindakan peguam dan ahli keluarga setiausaha politik Exco Selangor itu apabila mereka tiba-tiba memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai prosiding tersebut.
Peguam Karpal Singh memaklumkan pendirian itu selepas permohonan pihaknya agar Tan Sri James Foong Cheng Yuen menarik diri sebagai pengerusi suruhanjaya serta permohonan penangguhan prosiding, ditolak.

''Kami mendapat arahan daripada keluarga Beng Hock untuk tidak terlibat dalam siasatan ini,'' katanya sebelum meninggalkan bilik bicara bersama peguam Gobind Singh Deo dan empat ahli keluarga simati.

Berikutan tindakan itu, Cheng Yuen melahirkan rasa kesal kerana pihak berkaitan yang terlibat secara langsung dan berkepentingan dalam suruhanjaya tersebut memilih untuk menarik diri serta tidak lagi terlibat dalam prosiding itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa panel-panel suruhanjaya akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diberi dengan adil dan sebaik mungkin.

Terdahulu, Karpal memaklumkan bahawa permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan suruhanjaya menolak untuk menyingkirkan tiga pegawai pengendali telah difailkan pada petang ini.

Sehubungan itu, beliau memohon agar prosiding ditangguhkan sehingga semakan kehakiman itu didengar dan diputuskan, Jumaat ini.

Karpal turut membuat permohonan agar Cheng Yuen menarik diri daripada mempengerusikan suruhanjaya itu dengan alasan beliau adalah Hakim Mahkamah Persekutuan serta anggota badan kehakiman.

Katanya, hampir kesemua suruhanjaya sebelum ini dipengerusikan oleh mereka yang tidak lagi memegang jawatan dalam badan tersebut.

Kedua-dua permohonan itu disokong oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dan peguam yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong.

Sementara peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula membantah dengan alasan pelantikan hakim yang masih bertugas sebagai pengerusi suruhanjaya biasa dilakukan di negara lain.

Selepas berbincang dengan panel-panel yang lain, Cheng Yuen menolak kedua-dua permohonan itu.
''Berhubung permohonan agar saya menarik diri, kami dapati tiada asas untuk menyokongnya kerana tiada kaitan antara jawatan saya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan tugas sebagai pengerusi suruhanjaya.
''Kami juga telah membuat keputusan untuk tidak menangguhkan prosiding sebelum ini dan tiada alasan untuk kami meneliti semula keputusan yang telah dibuat pada 14 Februari lalu,'' kata Cheng Yuen.

Sementara itu, adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan, 30, pula melahirkan rasa terkilan kerana permohonan penangguhan prosiding sekali lagi ditolak oleh suruhanjaya.

''Kami cuma mohon lebih masa untuk membolehkan Mahkamah Tinggi membuat keputusan terhadap permohonan semakan kehakiman tetapi tetap tidak dibenarkan.

''Kami mahu suruhanjaya yang bebas, adil, telus dan profesional. Kenapa masa untuk suruhanjaya bersidang terhad,'' katanya.

Turut hadir ialah bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee, 64; ibu, Teng Shun Hor, 57; dan abang, Teoh Meng Kee, 34.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan