Oleh AMRAN MULUP
JASIN 23 Feb. – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad hari ini diumumkan sebagai calon untuk menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 6 Mac ini.
Pemilihan Roslan, 44, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan BN Common Center di pekan Merlimau di sini.
Roslan merupakan anak kepada bekas Ahli Parlimen Jasin, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin dan anak saudara kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.
Pengumuman beliau disambut dengan sorakan oleh kira-kira 2,000 penyokong parti komponen BN dan masyarakat Merlimau yang hadir.
Turut hadir pada majlis pengumuman tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas.
Pada sidang akhbar selepas pengumuman itu, Muhyiddin melahirkan keyakinan terhadap pemilihan Roslan sebagai calon BN dan menyifatkan keputusan itu sebagai tepat kerana Roslan adalah calon yang bersih dan dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di Merlimau.
“Proses saringan calon dibuat banyak kali oleh saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kami dapati Roslan adalah calon yang paling sesuai.
“Beliau (Roslan) ada rekod, ada pengalaman, biasa jadi pemimpin di sini dan begitu dikenali. Kami harap pengundi di Merlimau berpuas hati dengan calon yang dipilih.
“Saya amat berharap pengundi di Merlimau dapat memberi sokongan yang kuat kepada Roslan untuk menjadi wakil rakyat dan memastikan BN memenangi kerusi ini,” katanya.
Muhyiddin juga percaya penampilan Roslan dengan dibantu oleh jentera BN negeri yang diterajui oleh Mohd. Ali bukan sahaja membolehkan BN menang tetapi lebih penting meraih majoriti undi yang lebih besar.
Beliau turut menolak andaian bahawa pemilihan Roslan adalah berdasarkan legasi kepimpinan bapa serta bapa saudaranya.
“Perkara paling penting yang kita lihat ialah keperibadian dan kebolehan Roslan sendiri. Beliau adalah calon paling berpotensi untuk menang,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, BN mampu mempertahankan kerusi DUN Merlimau bersandarkan kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Parlimen Batu Sapi, Parlimen Hulu Selangor dan terbaru di DUN Tenang.
Katanya, kemenangan itu dibantu oleh kesedaran orang Melayu, Cina dan India yang dapat menerima dengan positif dasar-dasar yang dibawa oleh kerajaan.
“Ia membawa impak positif apatah lagi situasi ekonomi yang bertambah rancak memperlihatkan sokongan masyarakat pelbagai kaum terhadap kepimpinan BN menerajui negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, Muhyiddin tidak menolak Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau akan turut memihak kepada BN selain bakal mencatat majoriti undi yang lebih besar.
Beliau seterusnya mengingatkan semua pemimpin dan ahli BN supaya jangan terlalu yakin akan menang serta memandang remah calon pembangkang walaupun DUN Merlimau dilihat cukup selesa buat BN.
0 comments:
Catat Ulasan