Hosni Mubarak Terselamat Pelbagai Cubaan Bunuh Tetapi Tersungkur Di Tangan Rakyatnya

Sabtu, 12 Februari 2011

KAHERAH: Presiden Hosni Mubarak telah terselamat daripada 10 percubaan membunuhnya dan pada usia 82 tahun beliau masih enggan turun daripada ‘takhta’ yang disandangnya sejak 30 tahun yang lalu sehinggalah semalam (Jumaat) beliau akur dengan kuasa dan kehendak rakyatnya sendiri.
Hanya beberapa hari yang lalu, Hosni masih mahu bertahan di tampuk pemerintahan dan enggan tunduk kepada tekanan rakyat yang berhimpun tanpa henti di Medan Tahrir.

Tetapi selepas berunding dengan pihak tentera dan partinya sendiri, Hosni pada Jumaat membuat keputusan yang paling tidak disangka iaitu melepaskan jawatannya dan menyerahkan kuasa mentadbir negara kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang suatu ketika dahulu beliau terajui.

Keputusan penuh dramatik itu diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman secara langsung menerusi siaran televisyen dan disambut dengan sorakan di merata-rata tempat di seluruh negara. Malah ada yang pengsan kerana tidak menyangka mereka akhirnya benar-benar menjatuhkan Hosni Mubarak.

Omar yang baru dilantikan beberapa minggu yang lalu sebagai naib presiden iaitu yang pertama dalam sejarah kepimpinan Hosni tidak memaklumkan apakah beliau kini mempunyai kuasa atas kapasitinya sebagai naib.
Beliau juga tidak menjelaskan sejauh manakah pihak tentera diberi mandat untuk mentadbir negara dan untuk berapa lama.

Sebelum itu, lewat Khamis, apabila seluruh negara menjangkakan yang Hosni akan melepaskan jawatannya, pemimpin Arab yang disifatkan sebagai firaun moden itu muncul di kaca televisyen dan memberitahu seluruh negara yang beliau akan terus kekal sebagai presiden sehingga bulan September tetapi menyerahkan mandat memerintah kepada naibnya.

Pengumumannya itu disambut dengan lontaran sliper dan kasut ke arah poster Hosni di Medan Tahrir. Tetapi kekecewaan mereka hanya untuk sehari sahaja.

Pendakian Hosni ke puncak kuasa berlaku dalam situasi yang tidak dijangkakan apabila Anwar Sadat - yang mencipta sejarah dunia Arab apabila menandatangani perjanjian damai dengan Israel - ditembak mati dalam satu majlis perarakan tentera pada 6 Oktober 1981.

Mubarak yang baru dilantik sebagai naib presiden selepas mengetuai peperangan dengan Israel mengambil alih tampuk pemerintahan negara yang paling ramai penduduk di benua Arab (80 juta orang) seminggu selepas itu.
Sejak itu, beliau memerintah tanpa sebarang ancaman di bawah undang-undang darurat sehinggalah beliau melepaskan jawatan presiden pada Jumaat.

Namun sepanjang tempoh pemerintahannya, gerakan bawah tanah seperti Al-Jihad, Gamaa Islamiyya dan Talaeh al-Fatah - bertanggungjawab merancang percubaan untuk membunuhnya termasuklah ketika beliau di luar negara.
Percubaan pertama untuk membunuhnya berlaku pada tahun 1993, setahun selepas gerakan bawah tanah dilancarkan untuk menumbang kerajaan sekular dan autoritariannya. Satu roket pelancar yang ditembak ke arah residen Hosni gagal mengenai sasaran.

Dua tahun kemudian, satu lagi percubaan membunuh dilancarkan dengan menembak kereta yang sedang dinaikinya ketika beliau berada di Addis Abiba. Dan satu lagi percubaan dilakukan dengan meledakkan bom ketika beliau sedang menunggu ketibaan pemimpin Libya Kolonel Muaamar Ghadafi di sebuah lapangan terbang tentera.

Pada bulan September 1999, Mubarak mengalami kecederaan apabila seorang lelaki menikamnya dalam satu majlis di Pelabuhan Said.

Dari segi kesihatan, Mubarak yang gemar bermain skuash hanya pernah mengalami masalah pada tahun 2003 apabila beliau jatuh pengsan ketika sedang berucap di parlimen. Bagaimanapun, insiden tersebut disabitkan dengan bulan puasa.

Tetapi pada tahun 2004, beliau telah menjalani pembedahan di Jerman kerana masalah tulang belakang dan Mac tahun lalu, beliau sekali lagi kembali ke Jerman untuk menjalani rawatan.

Hosni Mubarak dilahirkan pada 4 Mei 1928 di sebuah perkampungan di Lembah Nil bernama Menufiyah. Beliau memulakan kerjaya ketenteraannya di dalam pasukan Tentera Udara dan mengetuai perang sebanyak dua kali dengan Israel sehingga membawa gelaran hero dan patriot negara sebelum menyokong usaha damai yang dirintis oleh Anwar Sadat pada tahun 1979.

Bapa kepada dua orang anak lelaki ini yang dididiknya untuk mengambil alih kuasa selepas persaraannya nanti berkahwin dengan seorang wanita bernama Suzanne yang merupakan wanita kacukan Arab-Welsh.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan