Hari Kekasih: Syor Nasrudin pendirian peribadi bukannya PAS, kata Khalid

Khamis, 10 Februari 2011

Oleh Adib Zalkapli

SHAH ALAM, 10 Feb — PAS Selangor hari ini menolak cadangan Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi yang mahu melancarkan kempen membendung gejala tidak bermoral di negeri-negeri Pakatan Rakyat sempena sambutan Hari Kekasih.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) berkata, Nasrudin tidak mempunyai kuasa untuk bercakap bagi pihak penguat kuasa kerajaan negeri jika undang-undang Islam dilaksanakan jabatan agama.

“Beliau (Nasrudin) tidak mewakili kerajaan.

“Jabatan agama negeri sentiasa membendung aktiviti-aktiviti tidak bermoral bukan sahaja pada Hari Kekasih,” katanya.

Kata beliau, komen Nasrudin itu mungkin pendapat sendiri dan tidak dibawa dalam mesyuarat biro politik baru-baru ini.

Nasrudin dilaporkan berkata telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan di Kedah, Kelantan dan Selangor untuk bekerjasama dengan polis dan Rela bagi membendung aktiviti tidak bermoral itu.

Katanya, Pemuda PAS akan bekerjasama dengan jabatan agama setiap negeri untuk memantau sambutan Hari Kekasih 14 Februari ini.

Beliau berkata langkah itu diambil sebagai satu percubaan untuk membendung gaya hidup tidak sihat dan menyumbang kepada dosa.

Sementara itu Ahli Parlimen Kota Raja Dr Mariah Mahmud berkata biro kebajikan parti akan mendekati golongan remaja pada Hari Kekasih bagi memberi penerangan tentang peraturan-peraturan Islam.

“Tiada tindakan keras akan diambil PAS, biro kebajikan hanya menjalankan kempen 'Kami Ambil Berat',” katanya.

Pendirian PAS untuk melaksanakan undang-undang Islam mendapat tentangan daripada rakyat dan juga pemimpin Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, parti Islam itu cuba untuk menghentikan penjualan minuman beralkohol di kawasan orang Islam di Selangor tapi ia mendapat tentangan daripada DAP dan pemimpin PKR.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan