Raja Petra diperintah bayar ganti rugi

Jumaat, 11 Februari 2011

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Raja Petra Kamaruddin (gambar) membayar ganti rugi setelah tiga artikel yang disiarkan pengendali laman web Malaysia Today itu didapati memfitnah peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Hakim Datuk John Louis O'Hara menetapkan demikian setelah memutuskan bahawa Raja Petra juga bertanggungjawab atas penerbitan ketiga-tiga artikel tersebut.

Jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh Raja Petra akan ditaksirkan kemudian oleh timbalan pendaftar.
Di samping itu, mahkamah turut mengarahkan Raja Petra yang diwakili peguam Jadadish Chandra dan Amarjit Singh membayar kos guaman RM5,000.

Pada 13 Ogos 2008, Muhammad Shafee selaku plaintif yang diwakili oleh peguam S. Ravindran menyaman Raja Petra, 58, kerana didakwa menyiarkan tiga artikel berunsur fitnah terhadapnya pada 6, 7 dan 11 Ogos 2008 dalam laman web tersebut.

Artikel itu bertajuk Shafee Abdullah: Sodomologist Extraordinaire; Money, Power and Sex: What Motivates Man dan The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation.

Dalam penghakimannya, Hakim O'Hara berkata, persoalan sama ada plaintif berjaya memperoleh ganti rugi tersebut bukan urusannya memandangkan defendan terbabit sudah diisytiharkan muflis.

Dalam saman tersebut, plaintif memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan menyiarkan artikel tersebut dan komen-komen yang dihantar oleh pelawat laman web berkenaan.

Artikel itu bagaimanapun telah ditarik balik setelah mahkamah membenarkan permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah injunksi secara ex-parte (sebelah pihak).

Defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 November 2008, menafikan tiga artikel tersebut adalah palsu, berniat jahat atau memfitnah plaintif.

Raja Petra turut mengakui wujudnya penerbitan artikel di laman web tersebut tetapi menafikan bahawa dia merupakan penulis kesemua artikel terbabit.

Muhammad Shafee sebelum ini mengemukakan permohonan mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 untuk melupuskan saman tersebut tanpa perbicaraan penuh.

Menurut plaintif, permohonan tersebut dikemukakan supaya mahkamah menentukan sama ada perkataan-perkataan dan komen yang dipertikaikan itu dalam pengertian biasa serta semulajadi membawa maksud memfitnah.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan