Pelajar Aswara mengaku tak bersalah

Selasa, 19 Januari 2010

PETALING JAYA 18 Jan. – Berdiri di kandang tertuduh bersama-sama pesalah lain bukanlah satu pengalaman menyeronokkan bagi seorang pelajar jurusan Diploma Perfileman apabila ia bukan adegan filem tetapi realiti yang terpaksa ditempuhinya.

Mungkin sebab itu, Mohamad Tasyrif Tajudin, 25, pelajar tahun pertama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kelihatan agak tertekan.

Sesekali matanya melilau mencari kelibat ibu bapanya di galeri awam di Mahkamah Sesyen di sini.

Hari ini, kali kedua dia dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh empat hari.

Jumaat lalu, pelajar itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar komen berbentuk ugutan dalam laman Facebook.com berhubung isu kalimah Allah.

Bagaimanapun disebabkan Hakim Aslam Zainuddin yang sepatutnya mendengar kes itu berada di Shah Alam pada hari tersebut, pengakuannya dan isu jaminan terpaksa ditangguhkan ke hari ini.

Pada prosiding hari ini, Mohamad Tasyrif yang menjadi individu pertama didakwa berhubung isu penggunaan kalimah Allah, membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan itu.

Pelajar tersebut dituduh menggunakan aplikasi dalam Internet untuk membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat mengancam dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Komen tersebut dipaparkan di laman Facebook.com dengan menggunakan akaun pengguna yang didaftarkan atas nama Shahrul Maizam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat dan menghantar komen berbunyi; ‘‘ke nak aku baling bom petrol di sana plak? Harga boleh runding...’’ di laman web rangkaian sosial interaktif tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya kira-kira pukul 10 pagi, 10 Januari lalu di sebuah rumah di B-10-17-20, Blok 10, Jalan PJS 2B/1, Desa Mentari 2, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan