Dr Zambery - Saya masih MB sehingga 9 Feb

Jumaat, 29 Januari 2010

IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tetap meneruskan tugasnya mentadbir negeri itu seperti biasa sehingga 9 Februari ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya menerima apa sahaja keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan pada tarikh itu.

“Saya tidak akan mempertikaikannya demi menghormati prinsip Kedaulatan Undang-Undang di negara ini, tidak sebagaimana dilakukan Pakatan Rakyat (PR).

“Ini berbeza dengan PR yang pastinya akan melakukan pelbagai provokasi bagi mempengaruhi rakyat dan mempertikaikan keputusan berkenaan sebagaimana mereka lakukan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan memutuskan siapa Menteri Besar Perak yang sah pada tarikh 9 Februari ini, sama ada beliau atau Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dr Zambry berkata, pihak berkenaan juga sewajarnya melaksanakan tugas sebagai pemimpin dengan turun padang dan melihat sendiri pelbagai permasalahan rakyat, bukan sibuk ke sana ke sini menjaja cerita meracuni pemikiran rakyat.

Kata beliau, ini kerja yang dilakukan PR selama ini dan yakin rakyat sudah boleh berfikir secara rasional berhubung perkara itu.

“Kali ini saya berharap PR dapat menghormati undang-undang demi kebaikan bersama,” katanya.

Diminta mengulas hasrat Mohammad Nizar hendak menghadap Sultan Perak bagi memohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika keputusan berpihak kepadanya, Dr Zambry berkata, beliau sama sekali tidak akan berbuat demikian.

“Ini hanya permainan yang dicipta PR yang kini seolah-olah mahu mengheret saya supaya terjebak sama dalam sandiwara itu. Mereka yang memulakan permainan ini dan seharusnya mereka menamatkannya. Saya seperti biasa akan meneruskan tugas,” katanya.


Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan