SHAH ALAM 21 Jan. – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dititah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.
Beliau yang kebelakangan ini diselubungi kontroversi ekoran pendiriannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, difahamkan telah menerima titah tersebut hari ini.
Sementara itu, Khalid yang dihubungi malam ini, mengesahkan beliau akan menghadap Sultan Selangor esok tetapi masa dan tempat belum diketahui.
Ditanya sama ada titah itu ada kaitan dengan pendirian beliau berhubung isu kalimah Allah yang bertentangan dengan istana, dakwanya, beliau sendiri yang meminta untuk menghadap sultan sejak sebulan lalu.
‘‘Ini adalah kunjungan hormat dan sebagai Ahli Parlimen saya akan menyembahkan wawasan Shah Alam kepada baginda,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurutnya, pertemuan itu tiada kaitan dengan isu semasa yang berlaku di Shah Alam.
Ditanya sama ada isu kalimah Allah akan dibangkitkan dalam pertemuan itu, beliau berkata: ‘‘Jika baginda bertanya sebarang soalan mengenainya, saya akan menjawab.”
Terdahulu, Khalid pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini mencadangkan supaya 25 kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam termasuk Allah di negeri ini dikaji semula kerana ia sudah ketinggalan zaman.
Beliau berkata, larangan tersebut yang terkandung dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sepatutnya diubah suai dan dibahas secara ilmiah.
Menurut Yang Dipertua Pas Shah Alam itu, semasa enakmen tersebut diluluskan, tahap kefahaman umat Islam terhadap agama mereka sendiri mungkin masih begitu lemah sehingga perlu dilindungi sedemikian rupa.
‘‘Enakmen itu boleh dikaji semula dari semasa ke semasa dan sekiranya kefahaman umat Islam semakin mantap, tiada sebab ia tidak boleh dikaji semula atau diubah suai.
‘‘Umat Islam kena ingat, kita bertanggungjawab dan berkewajipan untuk menjelaskan risalah Islam kepada semua dan menyeru manusia kepada Allah, bukan menghalang mereka daripada menyebut nama-Nya,” katanya.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan