Kerajaan Pusat tidak telus: MB

Jumaat, 15 Januari 2010

ALOR SETAR - Kerajaan Pusat digesa bersikap telus dengan menyalurkan terus peruntukan Ahli Parlimen kepada wakil rakyat, bukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagaimana yang dilaksanakan sekarang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sistem yang digunapakai kini tidak efisien memandangkan pengagihan tidak telus menyebabkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) tidak memperolehi peruntukan yang sepatutnya diterima bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, masalah itu bukan perkara baru kerana sering dibangkitkan Ahli Parlimen PR namun sehingga kini tiada penyelesaian. Malah tiada tindakan yang diambil setakat ini.

“Tindakan Kerajaan Pusat itu tidak wajar kerana mereka seolah-olah menafikan hak rakyat yang memilih wakil rakyat di sesebuah kawasan melalui pilihan raya.

“Adalah lebih baik jika peruntukan itu disalurkan secara terus kepada jabatan peringkat negeri untuk memastikannya sampai kepada sasaran,” katanya ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian kelmarin yang menyebut Ahli Parlimen PR perlu mencari dana sendiri kerana tidak mendapat peruntukan Kerajaan Pusat.

Azizan berkata, jika disalurkan secara terus kepada jabatan tertentu, pelaksanaannya akan lebih efisien kerana setiap jabatan mempunyai mekanisme dan maklumat lengkap mengenai keperluan rakyat, terutama di daerah.

“Apabila menggunakan khidmat orang tengah (JPP), macam-macam masalah timbul. Boleh jadi tercicir atau disalah guna pihak lain. Rakyat menjadi mangsa kerana tidak dapat memenuhi tuntutan mereka,” katanya.

Menurutnya, masalah itu sudah lama membelenggu Ahli Parlimen PR sehingga memaksa mereka mencari dana sendiri untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan menganjurkan pelbagai program.

“Sepatutnya semua Ahli Parlimen yang dipilih rakyat menerima peruntukan masing-masing tanpa prejudis dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Saya kesal kerana Kerajaan Pusat tidak telus dalam isu ini,” katanya.

Berikutan itu, Kerajaan Pusat diminta supaya mendapatkan pandangan pemimpin PR untuk menyelesaikan kemelut yang sudah lama berlarutan demi kebaikan semua pihak.

“Kita harus utamakan kepentingan rakyat. Jangan hanya kerana perbezaan politik, hak wakil rakyat pembangkang dinafikan kerana mereka juga berkhidmat untuk rakyat. Ketepikan kepentingan politik demi untuk kebajikan rakyat,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan