Belajar kesilapan pembelian DMU

Sabtu, 23 Januari 2010

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Kerajaan harus belajar daripada kesilapan pembelian lapan set tren Diesel Multiple Units (DMU) sebelum meluluskan sebarang pembelian aset baru pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd. Sadique (gambar) berkata, kepentingan rakyat tidak boleh dikompromi dalam sebarang perolehan yang hendak dibuat, apatah lagi jika pembelian itu mencurigakan.

"Kepentingan rakyat perlu didahulukan kerana sebarang pembelian yang dibuat oleh kerajaan walaupun atas alasan demi menambah baik perkhidmatan, ia adalah wang rakyat.

"Saya berharap pada masa hadapan perkara seperti ini tidak berulang. Isu DMU ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua kementerian dan bukannya Kementerian Pengangkutan sahaja," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Pengangkutan membatalkan cadangan pembelian lapan set tren DMU terpakai dari Sepanyol berharga RM64 juta.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu, pembatalan kontrak pembelian itu dibuat selepas pihak pembekal gagal menyerahkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Pembelian lapan set DMU itu dikritik hebat oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang percaya harga yang perlu dibayar adalah terlalu mahal.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Ismail Kassim (BN-Arau), Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Halimah.

Mereka meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian berkenaan.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, beliau menyokong dan bersetuju dengan keputusan pembatalan berkenaan.

Katanya, dengan pembatalan itu, wang RM64 juta yang diperuntukan untuk DMU kini boleh digunakan bagi membaik pulih beberapa buah tren sedia ada untuk meningkatkan kelancaran operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Kita ada beberapa unit tren yang tidak dapat digunakan dan ia perlu diperbaiki segera. Langkah itu lebih baik daripada pembelian DMU yang berusia 20 tahun," katanya.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan