ROKIAH ABDULLAH
PULAU PINANG 17 Jan. - "Jaket keselamatan yang ada cukup untuk semua orang tapi hanya 10 hingga 11 orang sahaja memakainya, yang lain enggan. Selalunya kami semua pakai setiap kali latihan," begitu luah Kuah Zi Xun, 17.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Air Itam itu ialah antara 12 yang terselamat dalam kejadian perahu naga karam dipukul ombak di Perairan Pantai Macalum, di sini hari ini.
Gurunya, Chin Ai Fang, 28, dan rakannya Jason Ch'ng, 17, lemas manakala empat yang lain masih hilang.
Menurut Zi Xun, dia bersama 14 rakannya, seorang guru dan dua jurulatih dari Penang Forward Sports Club sudah lama menjalani latihan di kawasan itu yang diadakan setiap hari Ahad.
Katanya, latihan itu dibuat sebagai persediaan untuk menghadapi pertandingan perahu naga pertengahan tahun ini.
Menceritakan kejadian yang berlaku, menurut Zi Xun, mereka memulakan latihan kira-kira pukul 8 pagi.
Katanya, semasa di tengah laut, ombak semakin kuat menyebabkan mereka cuba membuat pusingan U.
"Namun perahu dipukul ombak besar sekali lagi lalu terlanggar sebuah tongkang di kawasan itu.
"Perahu kami kemudian terbalik dan semua tercampak ke dalam laut. Dalam suasana panik itu, ada yang cuba berpaut pada perahu dan ada yang tenggelam.
"Saya dan beberapa rakan lagi berjaya berenang ke tepi pantai untuk menyelamatkan diri," katanya yang duduk di bahagian belakang perahu tersebut.
Menurut Xi Zun, ketika kejadian ombak agak kuat dan arusnya bertambah deras apabila beberapa buah kapal lalu di kawasan berhampiran.
Mangsa lain, Lim Wan Yang, 16, yang ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) berkata, kejadian itu menyebabkan dia berasa takut ke laut lagi untuk berlatih perahu naga.
"Selepas terbalik, saya berpaut pada perahu. Saya bernasib baik kerana ketika kejadian memakai jaket keselamatan. Semuanya berlaku amat pantas.
"Walaupun telah berlaku beberapa jam lalu, namun kejadian yang menimpa masih terbayang di mata saya," katanya.
Kim Chuan Khye, 17, yang memakai jaket keselamatan ketika kejadian bersyukur kerana diselamatkan oleh nelayan yang berada di situ.
"Syukur, saya selamat. Tetapi ada rakan masih hilang dan telah terkorban. Pasti semua yang berlaku akan jadi kenangan pahit buat kami semua," katanya.
Sementara itu, beberapa ibu bapa dilihat menangis dan ada antaranya berteriak dan menjerit memanggil nama anak masing- masing.
Seorang ibu berusia lingkungan 40-an dilihat menangis sambil melambai-lambai tangan ke arah laut.
"Kamu kena pastikan kamu hidup. Kamu kena balik. Ibu sedang menunggu kamu. Ibu tidak boleh biarkan kamu pergi. Kamu kena balik," katanya dalam bahasa Kantonis.
Cubaan pemberita untuk mendapatkan reaksi keluarga mangsa yang terlibat gagal kerana semuanya dalam keadaan sedih.
Apa yang mereka lakukan hanya menggelengkan kepala sambil meminta pemberita dan jurugambar pergi dari tempat itu.
Sementara itu, beberapa pekerja di syarikat pembinaan di kawasan berhampiran lokasi kejadian berkata, mereka selalu melihat kumpulan pelajar tersebut menjalani latihan di kawasan berkenaan.
Katanya, perahu mereka juga disimpan di kawasan itu dalam satu ruang khas.
"Kami memang biasa melihat mereka sejak beberapa bulan lalu. Setiap Ahad, pagi-pagi lagi mereka sudah ada di sini.
"Namun, hari ini kami tidak sedar kejadian itu kerana berlaku di tengah laut. Kebanyakan kami telah memulakan kerja masing-masing," katanya. - Utusan
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan