Editorial Herald Mahu Isu Diselesaikan Di Mahkamah

Ahad, 17 Januari 2010

ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Akhbar Herald-The Catholic Weekly bertegas supaya isu pengunaan kalimah Allah diselesaikan di mahkamah.

Editornya, Reverend Lawrence Andrew berkata, semua pihak seharusnya bersabar dan membiarkan mahkamah membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.

"Perkara ini sudah pun berada di mahkamah, jadi bagaimana pula kita nak selesaikan diluar mahkamah?

"Lagipun saya fikir adalah lebih baik kita biarkan proses (mahkamah) yang ada dijalankan dengan cara yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin agar isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam diselesaikan di luar mahkamah bagi mengelak ia menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Menurut Khairy, sekiranya kemelut yang melanda masyarakat Islam itu diselesaikan melalui proses mahkamah, ia sudah pasti akan menimbulkan perasaan tidak puas hati pada sesetengah pihak terutamanya yang kalah.

Bagaimanapun Andrew berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan proses demokrasi, semua pihak berhak menggunakan saluran perundangan bagi menyelesaikan sebarang masalah.

"Kita sudah tahu Mahkamah Tinggi telahpun buat keputusan mengenainya (menangguhkan pelaksanaan), kita sekarang sedang tunggu proses rayuan.

"Jadi kita memang tidak dapat elak mengenai perkara ini lagi (selesai di mahkamah)," katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk kemarahan umat Islam apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan awalnya sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan menteri.

Tambah Andrew lagi, beliau menerima banyak maklum balas daripada masyarakat terutamanya penganut agama Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Setahu saya hanya segelintir pihak yang membantah mengenai perkara ini, kebanyakannya menyokong kerana mereka faham maksud sebenar tuntutan kami.

"Semua pihak harus faham dari segi sejarah sejak bila perkataan Allah digunakan oleh penganut Kristian," katanya. - MStar


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan