SHAH ALAM 18 Jan. - Sebanyak 16 lagi laporan polis dibuat hari ini meminta agar siasatan dilakukan terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang didakwa cuba mengeruhkan isu larangan penggunaan kalimah Allah.
Kesemua laporan itu dibuat secara berasingan oleh 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini bermula pukul 10 pagi.
Antara NGO yang membuat laporan adalah Persatuan Belia Seri Warisan, Persatuan Belia Sejagat, Persatuan Belia Anapol, Persatuan Belia Independent, Kelab Rakan Muda Shah Alam, Persatuan Belia Seksyen 19, Persatuan Belia Seri Bena dan Persatuan Belia Niaga Shah Alam.
Menurut wakil NGO berkenaan, Mohd. Khairul Huda daripada Persatuan Belia Seri Warisan, laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan Khalid yang disiarkan di sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu dengan tajuk Cabar JAIS, MAIS sertai politik pada 14 Januari lalu.
Beliau berkata, kenyataan itu dibuat semasa Khalid menyampaikan ceramah di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
"Kami melihat kenyataan Khalid itu seolah-olah mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Tindakan beliau cuba mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor ke dalam kancah politik juga seolah-olah menghasut rakyat supaya tidak lagi menghormati baginda sebagai pemerintah dan Ketua Agama Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Azahari Shaari.
Sehubungan itu, katanya lagi, sebagai rakyat Selangor, pihaknya berharap agar siasatan terhadap Khalid dapat dilakukan dan tindakan sewajarnya diambil bagi mengelakkan ia berulang.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan