Perbincangan Antara Kumpulan Agama Perlu Untuk Capai Keharmonian - Rais

Selasa, 19 Januari 2010

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini menegaskan perbincangan antara kumpulan-kumpulan agama perlu dilakukan dalam mencapai keharmonian negara. "Yang penting sekarang bagi kumpulan masyarakat kita di Malaysia ialah mengadakan perbincangan persahabatan dan mesti berlunaskan antara Islam, Kristian, Hindu dan lain-lain. Kita bukan nak masuk dalam agama itu, cuma yang penting kita memahami kebudayaan agama itu. Itu yang penting.

"Saya menganggap bahawa perbincangan dan mengenal budaya antara satu dengan lain termasuklah agama... inilah yang membawa keharmonian yang lebih nyata. Kalau tidak, kita sentiasa tergolong dalam prasangka atau prejudis," katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Menteri 1 Sarawak Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak, di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini.

Rais meminta semua pihak bertenang berhubung isu penggunaan kalimah Allah kerana perkara itu sedang dalam proses mahkamah dan masih belum diputuskan.

"Saya yakin mahkamah akan membuat keputusan yang sejagat, yang universal (menyeluruh) yang boleh diterima pakai oleh semuanya. Tetapi usaha untuk mengharmoniskan kaum itu, mesti kita jalankan dan bukan hanya menyerahkan kepada mahkamah sahaja," kata Rais.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan supaya karya-karya sastera bermutu tinggi diberikan keutamaan dalam pemilihan teks sastera di sekolah ataupun di pusat-pusat pengajian tinggi.

"Ini bagi kami adalah seperti muzik... kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan. Dengan pengumuman begitu, kami di kementerian ini memang dahagakan dasar begitu dan saya amat menyokong. Dengan ini penulis-penulis negara kita yang ulung sekarang boleh muncul ke depan," katanya.

Mengenai perjumpaan dengan Chan, Rais berkata mereka membincangkan, antaranya, mengenai sektor pelancongan Sarawak, komunikasi dan kebudayaan negeri itu.

Chan berkata di Sarawak, meskipun mempunyai kemudahan pelancongan dan kebudayaan yang lengkap, kekurangan promosi menyebabkan pelancong kurang ke negeri itu.

"Sekarang kita perlu mempromosi lebih lagi kekayaan alam di Sarawak bagi menjadikan Sarawak sebagai satu destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi," katanya.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.- BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan