RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU 14 Jan. - Ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff dihukum penjara enam bulan setelah didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan tiga individu lain, dengan menyembur bahan berbahaya empat tahun lalu.
Majistret Azman Mustapha bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan selesai dikemukakan oleh tertuduh yang juga seorang ahli politik.
Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas Azman selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding yang berlangsung selama sejam di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
"Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, saya mendapati tertuduh telah bertindak secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan kepada beberapa individu. Oleh itu kamu dihukum penjara selama enam bulan," tegas beliau.
Menurut Azman, keputusan tersebut dibuat demi kepentingan awam dan juga sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Nik Sapeia, 56, tenang ketika Azman menjatuhkan hukuman dan kelihatan tersenyum selepas mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan.
Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.
Selain Dr. Mahathir, Nik Sapeia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Datuk Ibrahim Ali, 58; Mohd. Nasir Muda, 48; dan Suberi Sahidan, 50.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Nik Sapeia tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi ditemani isteri dan ahli keluarga serta beberapa penyokongnya. Dia diwakili tiga peguam bela iaitu Saseedharan Menon, Zainal Abidin Mustaffa dan Shamsul Bahrian Ibrahim.
Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, Saseedharan bingkas bangun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman.
Permohonan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani dengan alasan mahkamah perlu mengambil kira faktor-faktor yang relevan dan kesalahan tersebut amat serius.
Semasa rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Saseedharan memohon mahkamah mengambil kira peranan dan sumbangan tertuduh kepada masyarakat.
"Sebagai seorang ahli perniagaan, tertuduh sangat mengambil berat terhadap masyarakat malah dia juga disanjung tinggi kerana peranannya dalam politik tanah air.
"Malah disebabkan peribadi baiknya ini, mangsa dalam kes ini iaitu Dr. Mahathir sendiri mengesyorkan agar dia menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk," katanya.
Menurut beliau, tertuduh juga merupakan ikon ahli perniagaan Melayu yang berjaya dan tidak pernah melupakan tanggungjawabnya kepada keluarga.
Kejadian berkenaan, ujar beliau, adalah satu 'titik hitam' yang berlaku secara tidak sengaja dalam kehidupan tertuduh sehingga menyebabkan keluarganya mengalami trauma.
Sementara itu, Idham dalam hujahan bertulis setebal lapan muka surat memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana melakukan perbuatan itu demi kepentingan sendiri.
"Mahkamah akan dilihat gagal dalam menjalankan tugasnya sekiranya meletakkan kebajikan pesalah sebagai syarat utama menjatuhkan sesuatu hukuman.
"Hukuman penjara adalah yang sewajarnya terhadap tertuduh kerana dia pada bila-bila masa tidak berada dalam keadaan berbahaya atau nyawanya terancam sehingga mendorongnya bertindak sedemikian," tegasnya. - Utusan
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan