KUALA TERENGGANU 22 Jan. – Kerajaan negeri tidak pernah pilih kasih dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat termasuk dalam bidang pendidikan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, malah penduduk yang menentang kerajaan dan sering mencaci pemimpin juga menerima pelbagai bantuan sama ada bagi keperluan diri sendiri atau persekolahan anak-anak mereka.
“Kita (kerajaan) beri biasiswa kepada anak-anak orang yang menentang kerajaan dan mencaci pemimpin sehingga mereka berjaya masuk universiti dan memegang jawatan besar seperti doktor dan jurutera.
“Kerajaan tetap membantu mereka ini walaupun pada dasarnya mereka tidak layak menerima bantuan,” katanya berucap pada majlis pelancaran program Juara Rakyat di Sekolah Menengah Teknik Terengganu di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri dan turut dihadiri para pemimpin negeri.
Ahmad berkata, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM245 juta setahun bagi bidang pendidikan dengan penduduk negeri ini mendapat faedah yang saksama tanpa mengira ideologi politik.
“Kita mahu negeri ini terus cemerlang dalam bidang pendidikan dan pelajar mencipta kejayaan dari setahun ke setahun seperti kejayaan Terengganu mencatatkan prestasi tertinggi dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama sembilan tahun berturut-turut,” ujarnya.
Katanya, rakyat perlu bersyukur dengan komitmen kerajaan dan mereka seharusnya tahu berterima kasih dan membalas jasa itu dengan terus menyokong kerajaan semasa.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus dengan tradisi membela rakyat dan rakyat perlu menyokong agar kerajaan ini terus berkuasa pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menyediakan pelbagai keperluan bagi membolehkan Kuala Nerus menjadi daerah kelapan di negeri ini.
Beliau berkata, proses tersebut mengambil masa yang agak lama dan rakyat di kawasan itu perlu bersabar menunggu impian mereka direalisasikan.
Katanya, jika BN menang besar dalam pilihan raya umum akan datang dengan mendapat majoriti dua pertiga, usaha itu menjadi lebih mudah kerana cadangan itu akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan