Nor Sedek Ismail
SHAH ALAM 22 Jan. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menimbulkan kontroversi berikutan kenyataannya berhubung penggunaan kalimah Allah diberi nasihat berkaitan agama Islam oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Nasihat tersebut diberikan ketika Khalid menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Perkara itu diakui sendiri oleh Yang Dipertua Pas Shah Alam itu kepada pemberita yang menunggunya di luar pintu utama istana tersebut.
Sebelum itu, Khalid dilihat memasuki Istana Bukit Kayangan pada pukul 11.15 pagi dan keluar pada pukul 1 tengah hari.
"Saya menerima dan mendengarnya (nasihat) dengan baik," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu sama ada nasihat itu berhubung kenyataannya semalam supaya 25 kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam termasuk Allah di negeri ini dikaji semula kerana ia sudah ketinggalan zaman.
Khalid menjelaskan, sebab beliau dititah menghadap sultan hari ini tiada kaitan dengan kenyataan itu.
Sebaliknya beliau memberitahu, kunjungan ke istana tersebut atas titah Sultan Selangor lanjutan daripada permintaannya sendiri yang telah mengutus surat untuk tujuan tersebut pada November lalu.
Menurutnya, dalam perbincangan hampir dua jam itu, beliau turut mempersembahkan wawasan pembangunan Shah Alam kepada baginda.
Semalam, Khalid mencadangkan supaya 25 kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam termasuk Allah di negeri ini dikaji semula kerana ia sudah ketinggalan zaman.
Beliau berkata, larangan tersebut yang terkandung dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sepatutnya diubah suai dan dibahas secara ilmiah.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan