Majlis Perbadandaran Pulau Pinang ada masalah... - Nabila
PULAU PINANG 7 Jan. - Setelah menjadi ahli DAP lebih 22 tahun, Ketua Pasukan Bertindak parti itu di negeri ini, Tham Weng Fatt, 54, umum keluar parti dan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM) berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membuat keputusan itu kerana tidak sehaluan lagi dengan perjuangan DAP yang sejak akhir-akhir ini tidak lagi memperjuangkan kepentingan rakyat.
Malah, Weng Fatt yang merupakan antara pemimpin DAP yang sangat dikenali di negeri ini berkata, keputusan tersebut juga dibuat kerana DAP juga gagal menunaikan janji yang dibuat sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.
''Saya tidak pernah kecewa kerana tidak diberikan pangkat dan kedudukan tinggi dalam parti, namun saya kecewa setelah melihat kepimpinan DAP negeri ini yang terus meminggirkan kepentingan rakyat sejak memimpin negeri ini.
''Ingin ditegaskan di sini bahawa keputusan dibuat itu adalah muktamad dan dibuat secara sukarela setelah memikirkannya selama dua bulan dan ia juga bukan dibuat di bawah tekanan mana-mana pihak," katanya disini hari ini.
Weng Fatt membuat pengumuman itu selepas dilihat pihak media semasa mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, surat perletakan jawatannya dalam parti akan diserahkan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menafikan berlakunya sebarang perselisihan faham di antaranya dan pemimpin DAP lain di negeri ini dan menegaskan ia dibuat kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan beberapa dasar parti.
''Saya mahu meneruskan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tetapi bukan dengan sebuah sebuah parti yang tidak mempunyai prinsip yang sama dan telah dilihat lari dari perjuangannya," tegas beliau.
Dalam pada itu, Cheng Guan yang turut ditemui pemberita memberitahu akan menimbangkan untuk memberikan kedudukan tinggi dalam parti kepada Weng Fatt, selaras jasa dan pengalamannya dalam bidang politik yang lebih dua dekad.
''Keputusan Weng Fatt menyertai kami dianggap sangat tepat dan signifikan dalam usaha mengukuhkan lagi PCM memandangkan beliau merupakan pemimpin yang sangat prihatin kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow menegaskan beliau tidak tahu mengenai berita tersebut dan hanya mengetahuinya selepas pihak media mengajukan soalan mengenai perkara itu kepadanya.
Beliau bagaimanapun, akan merujuk dulu perkara tersebut terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen lanjut bagi mengelakkan sebarang salah faham namun mengucapkan selamat maju jaya kepada Weng Fatt jika pekara itu benar.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan