Seorang Wanita Ditemui Mati Dalam Almari

Jumaat, 1 Januari 2010

Negara ini tidak lagi aman dan damai apabila ketentuan Allah tidak dipatuhi. - Nabila

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita, dengan mulutnya ditampal pita pelekat dan dibungkus dengan selimut, dipercayai dibunuh ditemui di dalam sebuah almari pakaian di rumahnya di Pinggiran Ukay di sini malam tadi.

Mayat Fazlina Ahmad, 39, ditemui dalam almari bilik tidur utama rumah teres dua tingkat oleh sepasukan anggota polis pada pukul 9 malam selepas menerima laporan daripada rakan mangsa yang mengadu mangsa gagal dihubungi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mamah berkata polis menerima laporan pada pukul 1.30 petang dan hanya dapat memasuki rumah mangsa kira-kira pukul 8 malam untuk melakukan pemeriksaan.

"Selepas membuka almari pakaian yang ditampal dengan pita, polis menemui mayat mangsa yang dibungkus dengan selimut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Omar berkata mangsa dipercayai mati akibat kelemasan kira-kira sembilan jam lepas sebelum mayatnya ditemui.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama dua anak perempuan, yang masing-masing berusia lima dan tujuh tahun bersama seorang pembantu rumah, tetapi tiada di rumah itu kerana berada di rumah keluarga suami mangsa.

Omar berkata ketika pemeriksaan dilakukan, tiada ahli keluarga lain di rumah mangsa.

"Siasatan awal polis mendapati rumah mangsa tidak diceroboh masuk dan kesberkemungkinan bukan kerana samun," katanya.

Polis kini sedang mengesan suspek serta suami mangsa, yang sehingga kini gagal dihubungi.

Omar berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan