Hakim: Kerana tidak bersumpah Anwar di sabitkan bersalah

Sabtu, 19 April 2014


Mahkamah Rayuan menyatakan 'selamat' untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan bagi mengesahkan dan membuktikannya.

Mahkamah berkata lagi malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar).

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mendapati Anwar bersalah bagi pertuduhan itu dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun.

Dalam penghakimannya, panel itu berkata bagi membolehkan Anwar berjaya dalam pembelaannya, adalah wajib baginya mengemukakan bukti untuk menyangkal pertuduhan yang dihadapinya.

Bagaimanapun, dalam kes ini, Anwar tidak menafikan beliau berada di tempat kejadian jenayah pada masa dan tarikh seperti dalam pertuduhan.

"Beliau tidak mempertikaikan keretanya dilihat memasuki dan meninggalkan kondominium pada masa itu. Beliau juga tidak mempertikaikan dia telah dilihat ketika memasuki lif ke tingkat lima kondominium dan kemudian meninggalkan tempat itu," kata ketiga-tiga hakim berkenaan.

Mereka juga berpendapat bahawa hakim perbicaraan dalam kes rayuan itu mungkin juga tertanya-tanya kenapa responden (Anwar) memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah.

Rasanya untuk dapat info lebih jelas sila baca petikan daripada Mstar di bawah:-

Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan.

Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media hari ini, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes, Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan.

"Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya," kata hakim berkenaan.

Berhubung andaian pihak pembelaan bahawa Jude telah mengusik eksibit itu, mahkamah mendapati tindakan pegawai penyiasat berkenaan membuka eksibit itu tidak menyebabkan eksibit itu tercemar.


Ketiga-tiga hakim itu berkata mereka mengambil kira penjelasan diberikan Jude berhubung tindakannya itu iaitu beliau hanya mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis Negara.


Dua lagi hakim yang mendengar rayuan itu ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.


Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.


Panel itu juga berkata mereka mendapati tiada alasan untuk mereka menganggu penemuan hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tentang isu kredibiliti Mohd Saiful dan bahawa tiada yang tidak munasabah dengan keterangannya.


"Mengikut undang-undang, kredibiliti saksi-saksi adalah paling penting bagi hakim perbicaraan. Kami berpuas hati bahawa hakim perbicaraan yang bijaksana telah menimbangkan sewajarnya keterangan saksi pertama pihak pendakwa (Mohd Saiful Bukhari)," menurut panel itu.


Panel itu berkata ini tidak mungkin disebabkan beliau (Anwar) membantah untuk memberi keterangan bersumpah kerana jika benar, beliau boleh memilih untuk berdiam diri.


"Adakah mungkin responden keberatan keterangannya disoal dalam pemeriksaan balas? Jika ya, kenapa? Beliau tidak perlu takut untuk disoal kerana beliau akan dipertahankan oleh peguamnya dan oleh mahkamah," kata panel.


Berhubung keterangan dua pakar saksi pembelaan (Dr David Wells dan Dr Brian McDonald) yang dipanggil untuk mematahkan keterangan pakar saksi pendakwa, mahkamah berkata mereka hanyalah 'armchair expert' (pakar yang hanya pandai berteori) dan keterangan mereka hanya semata-mata pandangan, manakala keterangan ahli kimia tempatan Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon adalah berdasarkan fakta dan analisis terhadap sampel yang mereka jalankan.


Panel itu juga bersetuju dengan hujahan pihak pendakwa bahawa keterangan Dr McDonald sebahagian besar berbentuk spekulasi, teori, dan andaian, sehubungan itu keterangannya tidak kukuh.


Ketiga-tiga hakim juga berkata Dr McDonald turut membayangkan Jabatan Kimia Malaysia tidak mempunyai akreditasi kerana telah tamat tempoh pada 2005, bagaimanapun, berdasarkan keterangan Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia, Lim Kong Boon jabatan itu mempunyai akreditasi.


Berhubung isu alibi, hakim memutuskan kegagalan Anwar untuk memanggil mana-mana saksi bagi menyokong pembelaannya telah menimbulkan keraguan bona fide ke atas pembelaannya.


Mereka berkata antara saksi yang dinamakan di dalam notis alibi ialah isteri responden dan ketua kakitangannya.


"Saksi-saksi ini sepatutnya ada dan menyebelahi responden jika alibinya adalah tulen," kata panel itu.


Mereka juga mendapati Hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan yang serius apabila beliau meragui integriti sampel DNA berdasarkan keterangan yang diberi dua pakar saksi pembelaan.

Panel itu juga memutuskan keputusan hakim perbicaraan adalah cacat dan memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.



1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Mahkamah hanya mentafsir undang-undang dan keterangan. Kalau nak disabitkan kesalahan ditafsirkan undang-undang yang favour kepada pihak pendakwa dan begitulah sebaliknya.

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan