SEREMBAN: Empat ditahan berhubung kejadian menyimbah surau dengan cat merah di surau baru Taman Pulai Impian, Sikamat, dekat sini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, empat suspek berusia antara 16 hingga 18 tahun ditangkap dalam tempoh 12 jam selepas kejadian yang tidak bermoral itu di sekitar negeri ini.
Katanya, siasatan awal mendapati bahawa keempat-empat remaja terbabit bermain mercun berhampiran surau pada Ahad dan telah diarahkan berhenti.
Dan sebagai pembalasan, mereka memutuskan menyimbah cat ke surau terbabit.
"Mereka bertindak sebagai membalas dendam," katanya sambil menambah bahawa mereka akan direman selama empat hari untuk mengumpulkan bukti sebelum mereka dituduh di mahkamah kerana mencemarkan tempat ibadah.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, jemaah surau berkenaan gempar selepas mendapati surau mereka disimbah cat merah dan dilempar beberapa botol arak.
Surau berkenaan dibuka pada 24 Julai lalu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong yang melawat surau itu pada hari Selasa menegaskan bahawa kerajaan memandang insiden itu sebagai sangat serius.
"Insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku. Kami tidak akan ragu untuk mengambil tindakan tegas terhadap setiap individu atau kumpulan yang mengancam keamanan negara," tegasnya.
Namun, katanya, insiden itu, dipercayai "tindakan balas dendam" oleh remaja terbabit dan berharap tidak ada pihak akan mengambil kesempatan untuk membangkitkan sentimen perkauman.
"Siasatan sedang dijalankan. Saya berharap masalah ini tidak digembar-gemburkan, " katanya.
Surau disimbah cat, dilempar botol arak
Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
pengarang@utusan.com.my
SEREMBAN 23 Ogos - Sekumpulan ahli kariah yang hendak menunaikan solat subuh di Surau Taman Seri Pulai, Temiang dekat sini, hari ini terkejut apabila mendapati bangunan surau itu disimbah cat merah.
Lebih mengejutkan, surau berkenaan yang baru sahaja beroperasi beberapa bulan lalu turut dilempar botol minuman keras oleh individu tidak dikenali.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan antara pukul 1 dan 5 pagi dan ia disedari penduduk kawasan berkenaan yang ingin menunaikan solat subuh.
"Berdasarkan siasatan polis, kita menjumpai kesan cat dipercayai dibaling ke pintu surau berkenaan.
"Malah, pihak polis turut menemui kesan bekas serpihan kaca botol minuman keras di sekitar longkang, namun tiada sebarang kerosakan surau dilaporkan," katanya ditemui di tempat kejadian.
Mohd. Zaki turut memberitahu, berdasarkan siasatan awal pihaknya yakin kejadian itu mungkin dilakukan oleh beberapa orang suspek berdasarkan kepada kesan yang dialami oleh surau berkenaan.
Namun, katanya, sehingga kini pihaknya masih menyiasat motif serangan selain sedang mengenal pasti punca kejadian.
Sehubungan itu, Mohd. Zaki meminta penduduk Islam di kawasan terbabit bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan melulu.
Jelasnya, siasatan secara profesional akan dilakukan oleh pihaknya bagi menjejaki suspek yang terlibat.
"Biar pihak polis jalankan siasatan dan kita minta penduduk tidak bertindak sesuka hati atau mengikut perasaan. Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan," katanya.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan