Hanya Mahkamah Syariah Boleh Putuskan Sama Ada Seseorang Itu Islam Atau Tidak

Isnin, 23 Ogos 2010

PUTRAJAYA: Persoalan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak, merupakan bidang kuasa tunggal Mahkamah Syariah untuk menentukan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zainun Ali memutuskan bahawa Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa perkara yang berkaitan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak, berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hakim Zainun berkata Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar dan membuat pengisytiharan berhubung status seseorang itu sebagai beragama Islam memandangkan ia merupakan mahkamah bidang kuasa kompeten bagi tujuan itu.

"Ini adalah bagi sebab yang nyata dan praktikal. Pihak berkuasa agama bagi sesuatu agama tertentu berkedudukan yang baik untuk menimbang dan memutuskan sama ada seseorang itu menganut dan terus mematuhi ajaran agama berkenaan," kata Hakim Zainun yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner.

Beliau berkata di negara ini, tanpa mengira bagaimana persoalan itu dirangka, ia termaktub dalam undang-undang semasa bahawa persoalan mengenai sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak, seperti yang diputuskan dalam kes berkenaan, adalah untuk ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Memetik keputusan Mahkamah Agung, Hakim Zainun berkata mahkamah sivil di negara ini tidak mempunyai kelayakan untuk menentukan persoalan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak.

Panel hakim itu membuat keputusan berkenaan ketika menolak rayuan oleh S.Kaliammal, balu pendaki Everest negara Sarjan M. Moorthy, yang penukaran agamanya kepada Islam telah menimbulkan pertikaian.Mahkamah kemudian mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Dis 2005, yang enggan menentukan status agama suami beliau atas alasan perkara bersifat sedemikian terletak dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Kaliammal kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Beliau memfailkan saman pemula pada 21 Dis 2005 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pengarah Hospital Kuala Lumpur dan kerajaan selaku responden, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa Moorthy seorang penganut agama Hindu.

Pada hari berikutnya, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kuala Lumpur memperoleh perintah ex-parte daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan bahawa Moorthy telah pun memeluk agama Islam sebelum beliau meninggal dunia.

Perintah itu turut membenarkan majlis berkenaan mengebumikan Moorthy, atau nama Islamnya Mohamad Abdullah, menurut upacara pengebumian Islam.

Beliau dikebumikan pada 28 Dis 2005 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota di Gombak, Selangor. Moorthy menjadi lumpuh dari pinggang ke bawah selepas terjatuh semasa dalam latihan di Kem Sungai Udang di Melaka pada 14 Ogos, 1998 dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Bekas komando tentera itu kemudiannya koma setelah terjatuh dari kerusi roda dan meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur pada 20 Dis 2005.

Dalam penghakiman 14 muka surat itu, Hakim Zainun berkata perayu (Kaliammal)tidak dihalang daripada memohon kepada Mahkamah Syariah untuk cuba mengetepikan perintah ex-parte itu, bagi Mahkamah Syariah membuat keputusan yang adil dan saksama menurut agama Islam serta undang-undang Islam.

Beliau berkata dalam sistem dwikehakiman, seringkali akan timbul perkara yang dilihat sebagai percanggahan pendapat antara kedua-dua sistem itu.

Mahkamah sivil cuba untuk menyelesaikan percanggahan itu di mana yang boleh, dengan melaksanakan interpretasi supaya tidak timbul sebarang konflik atau untuk memastikan bahawa aduan dikemukakan kepada mahkamah terlebih dahulu sebelum mahkamah bidang kuasa kompeten menimbangkan keputusannya, katanya.

Hakim Zainun berkata adalah tidak wajar untuk menolak mahkamah bidang kuasa kompeten dan sebaliknya pergi ke mahkamah sivil.

Jika percanggahan itu terbukti tidak dapat diselesaikan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, terpulanglah kepada badan perundangan untuk menyediakan remedi, katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan itu, Kaliammal, 35, yang hadir di mahkamah bersama anak perempuan tunggalnya, M.Theneswary, 13, berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

Peguamnya M.Manoharan berkata beliau akan memfailkan kebenaran untuk merayu berhubung keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata mahkamah perlu memberinya peluang untuk mendengar merit kes itu memandangkan Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Kaliammal untuk mendapatkan semakan kehakiman tanpa mendengar merit kes. -BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan