Dinar: Tiada masalah jika rakyat Kelantan setuju

Ahad, 22 Ogos 2010

Oleh Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos:
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, tiada masalah jika kerajaan Kelatan mahu menggunakan dinar emas dan dirham perak sesama rakyat negeri itu.

Menurutnya selagi rakyat negeri itu bersetuju menggunakan dinar dan dirham sebagai alat pertukaran, maka tidak timbul sebarang masalah.

"Undang-undang kata Bank Negara sahaja yang dibenarkan kerajaan persekutuan, keluarkan wang sebagai mata wang.

"Kalau nak ganti itu memang salah, tetapi kalau nak guna sesama dia tidak salah saya rasa," katanya


Beliau berkata demikian pada sidang media di satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

Berucap sebelum itu, beliau juga berkata, kerajaan Kelantan bagaimanapun mesti memberi penerangan secara meluas agar rakyat negeri itu itu keliru dengan nilai dinar dan dirham tersebut.

"Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga tidak boleh dipersalahkan sekiranya masyarakat tidak mahu menggunakan dinar dan dirham tersebut.

Turut berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERSADA) itu ialah exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Husam berkata, dinar adalah bersifat pelengkap kepada ringgit dan kedua-duanya boleh digunakan.

Alasan tidak munasabah

Beliau turut membidas pihak yang yang mendakwa mengguna dinar akan merugikan kerana mudah dipalsukan dengan menganggap alasan tersebut tidak munasabah.

"Ringgit pun boleh dipalsukan, tapi bank negara boleh membezakan yang tulen dan palsu.

"Dinar pun ada alat yang boleh bezakan yang tulen atau palsu.

Selain itu dinar jelasnya lebih stabil kerana ianya aset yang sentiasa berkembang dan harganya meningkat mengikut masa berbanding mata wang dunia.

"Kalau judi bola boleh dihalalkan, tapi hairan kenapa tak boleh iktiraf dinar dan dirham," katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan