Abdul Taib sedia berundur?

Rabu, 25 Ogos 2010

KUCHING 24 Ogos - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang.

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak 26 Mac, 1981, berkata, beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu...terserah kepada parti dan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa Amanah Raya Berhad (ARB) kepada tiga pelajar Sarawak yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, di sini hari ini.

Pelajar berkenaan ialah Mohammad Zubair Mustafa yang belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan di Labu, Negeri Sembilan, Faliq Asraf Jafri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tunaz di Kuching dan Nadira Hamapei dari SMKA Miri.

Taib berkata, beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

"Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1981 dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya.

Mengenai bila beliau kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri, Ketua Menteri berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.

Mengenai sentimen pengundi Cina di Sarawak yang masih memilih pembangkang berbanding BN, katanya, trend itu masih membingungkannya sehingga kini.

"Saya juga bertanyakan soalan yang sama, saya mahu tahu," katanya dan menurutnya kerajaan negeri secara ikhlas cuba memenangi hati pengundi Cina tetapi masih gagal berbuat demikian sehingga kini. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan