Tidak pernah dendam

Selasa, 16 Februari 2010

KUALA TERENGGANU – Irwan Affandi Che Mat, 30, tidak pernah berdendam dengan adiknya, Shahrul Azmi, 20, meskipun tindakan remaja itu menikamnya dengan menggunakan pisau rambo, 3 Februari lalu hampir meragut nyawanya.

Irwan Affandi yang baru pulang dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dikatakan telah memaafkan segala kesalahan adiknya kerana menganggap segala perlakuan itu dilakukan di luar batas kesedaran remaja terbabit.

Bapa saudaranya, Rozali Hassan, 48, berkata, hubungan rapat yang terjalin antara dua beradik itu menyebabkan mangsa mudah memaafkan adiknya walaupun sedar perkara itu membawa sejarah hitam dalam hidupnya.

Keakraban dan kemesraan mangsa dengan ahli keluarganya kata Rozali, dapat dilihat apabila perkara pertama yang ditanya Irwan Affandi sebaik sahaja dia sedar di HSNZ adalah keadaan bapa, ibu dan adik-adiknya.

“Saya beritahu bapanya sudah meninggal dunia, manakala adiknya terpaksa ikut undang-undang (dalam lokap), walaupun payah namun saya lihat dia boleh menerima hakikat itu dengan linangan air mata,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Irwan Affandi cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal setelah dia ditikam adiknya sendiri menggunakan sebilah pisau rambo ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Pulau Duyong.

Bagaimanapun bapanya, Che Mat Nik, 51, seorang mekanik enjin bot meninggal dunia di tempat kejadian setelah turut ditikam oleh suspek ketika cuba membantu menyelamatkan mangsa.

Setelah 10 hari kejadian malang tersebut menimpa keluarnya, Irwan Affandi yang koma selama enam hari akibat tikaman itu akhirnya beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah petang kelmarin.

Namun begitu kata Rozali, anak saudaranya memilih untuk pulang ke rumah neneknya di Pulau Duyong, bukan rumah sendiri selain belum bersedia untuk berjumpa dengan pihak media kerana masih bersedih di atas insiden berkenaan.

“Keadaan fizikalnya sudah 70 peratus pulih, tapi emosinya masih ‘sakit’ kerana kejadian itu telah memberi kesan besar kepadanya, oleh itu dia tidak mahu balik ke rumahnya sebab tidak mahu ingatannya terganggu.

“Dia ada minta untuk menziarahi kubur arwah bapanya dan berjumpa adiknya di lokap, kami akan menunaikan permintaan itu selepas keadaannya pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Pulau Duyong.

Menurut Rozali, bagi mengubat kedukaan dan menghilangkan segala kisah hitam itu daripada fikiran kakak dan anak saudaranya, beliau bercadang untuk membawa mangsa dan ahli keluarganya bercuti apabila keadaan mengizinkan.

“Namun, apa yang membimbangkan saya adalah masa depannya (Irwan Affandi) kerana akibat tikaman itu organ penting seperti hati dan paru-paru cedera, mungkin dia tidak boleh melakukan kerja berat lepas ini,” katanya. _ SInar Harian

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan