Bayi Baru Lahir Ditemui Terbakar Dalam Tong Sampah

Ahad, 14 Februari 2010

KUALA KRAI: Mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui terbakar di dalam sebuah tong sampah besar milik Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) di Jalan Tengku Zainal Abidin di sini pagi tadi.

Tidak dapat dipastikan sama ada bayi yang masih bertali pusat dan uri itu telah dibakar hidup-hidup. (Gambar disebelah hanya hiasan)

Ketika ditemui oleh tiga petugas MDKK yang sedang melakukan tugas memungut sampah di situ kira-kira 11 pagi, bayi yang berkulit cerah tersebut ditemui rentung pada sebahagian badan sementara kakinya juga terputus dari badannya.

Salah seorang petugas tersebut, Mohd Zain Pa'Su, 57, berkata pada mulanya beliau dan rakan-rakanya terkejut apabila mendapati tong sampah tersebut telah terbakar.

"Tong sampah ini turut dipenuhi dengan rumput, kayu dan zink yang didapati disusun dengan rapi seolah-olah bagi menyembunyikan sesuatu.

"Amat jarang tong sampah ini terbakar.

Disebabkan sukar untuk mengangkat sampah kerana tongnya terbakar, kami terpaksa memunggahnya.

"Tetapi alangkah terkejutnya kami apabila menemui mayat bayi lelaki di dalamnya. Ketika itu separuh badan bayi itu masih putih tetapi masih ada bara api pada keseluruhan badannya," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Abdul Rahim Che Ghani berkata berdasarkan siasatan, tong sampah itu dipercayai terbakar sejak pagi semalam.

"Tetapi disebabkan semalam bukan waktu untuk memungut sampah, tidak ada sesiapa yang menemui bayi itu sehinggalah kakitangan MDKK menjalankan tugas mereka pagi ini," katanya.

Beliau berkata para petugas MDKK tersebut telah membuat laporan kepada dua anggota polis bermotosikal yang melakukan rondaan di kawasan tersebut kira-kira 11.25 pagi tadi.

"Kita turut mengesyaki suspek sengaja membakar tong sampah itu untuk menghapuskan bahan bukti kerana bimbang ia akan diketahui umum," kata Abdul Rahim.

Beliau berkata pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Krai untuk mengetahui punca kematian bayi tersebut.

Katanya pihaknya juga percaya perbuatan itu dilakukan oleh remaja yang tinggal di sekitar bandar ini kerana beranggapan tidak mungkin orang luar akan berkereta bagitu jauh untuk membuang bayi tersebut.

Beliau meminta orang ramai agar memberi maklumat mengenai kejadian tersebut dan juga meminta hospital dan klinik memaklumkan kes pesakit yang baru bersalin.

Abdul Rahim berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. Pada Rabu lalu, kes buang bayi turut dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu.- BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan