Abby: 'Politik bukan bidang saya'

Khamis, 16 Ogos 2012

Oleh RAZIATUL HANUM A. RAJAK
SHAH ALAM - Penglibatan selebriti ini dalam program politik mendapat perhatian ramai sejak menyerahkan borang keahlian menyertai Pas bulan lalu. Sejak itu dia hanya banyak menjawab pandangan dan kritikan menerusi alam siber Twitter.

Selain itu pandangannya hanya dapat diketahui menerusi pentas ceramah atau forum anjuran parti politik.

Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan mendapat pelbagai reaksi berikutan penghijrahannya ke dalam arena sebagai ahli Pas.

 Abby yang kini tampil dengan imej bertudung mengakui dia tidak mengambil peduli kritikan mana-mana pihak kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadapnya.

"Saya memang tidak ada masalah kerana apa yang dikhabarkan itu tidak betul. Fitnah," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada program Ziarah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Seri Muda dekat sini malam tadi.

Apabila ditanya soal politik, Abby, antara selebriti yang aktif di dunia Twitter dan hanya dapat dipetik perbincangannya menerusi laman itu sejak lebih sebulan lalu, menegaskan bahawa dia menolak kemungkinan penglibatannya dalam arena politik sebagai "ahli politik" secara aktif.

"Saya tidak minat langsung nak jadi ahli politik. Politik bukan bidang saya. Apa yang saya lakukan sekarang ini bukan sebab saya mementingkan politik sangat.

"Saya lebih terlibat dari segi kemanusiaan. Apa yang tidak adil. Rakyat tidak dapat hak dari segi keadilan. Perkara-perkara ini semua memang berkait dengan politik kerana kuasa pemimpin itu hanya dari jalan politik," jelasnya.

"Saya memang tahu tahap kemampuan saya. Saya masih sayangkan karier saya. Saya suka dengan apa yang saya lalui sekarang. Jika ada rezeki, saya memang mahu kembali berlakon dengan mengikut undang-undang ALLAH," kata pelakon popular Gerak Khas ini.

Sementara itu, mengulas kenyataannya sebelum ini berhubung artis bertudung sukar mendapat tawaran dalam bidang seni dan hiburan, beliau menjelaskan maksud sebenar kata-katanya itu.

"Ya, saya akui sebelum ini saya memang pernah mengeluarkan kenyataan itu tetapi saya kata untuk artis yang sudah berhijrah, yang memakai tudung, yang bersama pembangkang, memang susah untuk mendapat tawaran daripada kerajaan," tegasnya.

"Saya tahu rezeki itu daripada ALLAH tetapi kerajaan kita memang macam itu. Tak kira artis ke, cikgu ke, imam ke, kalau menentang kerajaan memang akan diberhentikan.

"Ini yang patut dijelaskan bukan saya kata yang bertudung tak boleh kerja dengan kerajaan. Perkara ini sudah dipusingkan hingga jadi lain," katanya mengulas lanjut.

Apabila soal kahwin disentuh, Abby hanya tergelak.

Dia yang dilaporkan berbaik semula dengan bekas suaminya, Norman Hakim dan isteri barunya, Memey awal bulan ini memberitahu:

"Sejak saya bersama pembangkang, sudah tiga kali saya 'dikahwinkan' dan ada juga yang percaya."

"Perkahwinan itu tidak pernah berlaku dan saya tidak kenal langsung dengan siapa saya 'dikahwinkan'," jelas Abby yang mengaku hatinya masih belum berpunya.

"Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat tetapi kalau ia berlaku, itu kuasa Tuhan," katanya, yang sebelum ini turut menafikan spekulasi bahawa akan merujuk semula dengan Norman. Norman juga pernah mengulas isu yang sama kepada Sinar Harian Online lebih dua minggu lalu.

Abby juga berkata, ketiga-tiga anaknya akan menyambut Aidilfitri bersama Norman dan Memey di Kuantan, Pahang.

Awal minggu ini Abby ada menulis menerusi Twitter bahawa Norman memang ada mengajaknya menyambut Aidilfitri di kampungnya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan