ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Akibat mengkritik keras kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim akan dirujuk kepada lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sambil menyifatkan tindakan Zahrain sebagai keterlaluan, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan sokongan padu parti itu kepada Lim.
"Bagi saya serangan yang dibuat terhadap YB (Yang Berhormat) Guan Eng adalah keterlaluan, kita tak setuju, kita tak sependapat dengan beliau yang terlalu keras.
"Jadi kami beri sokongan kepada YB Guan Eng... seperti mana YB Zulkifli (Noordin), Datuk Zahrain juga terpaksa berikan jawapan kepada lembaga disiplin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di sini hari ini.
Rabu lalu, Zahrain mengkritik keras kepimpinan Lim serta melabelkan Ketua Menteri itu sebagai pemimpin diktator, cauvinis dan berpemikiran komunis.
Bekas Ketua Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut dilaporkan mendakwa Lim menjadi bebanan kepada PR Pulau Pinang jika beliau terus memerintah dengan gaya diktatornya.
Zahrain turut mengakui bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini jauh lebih baik dan telus jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan Lim.
Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menyanggah beberapa isu yang dibangkitkan Zahrain.
"Hubungan kita dengan YB Guan Eng baik dan saya perhatikan dalam banyak hal beliau mentadbir Pulau Pinang dengan baik dan memuaskan.
"Datuk Zahrain bangkitkan mengenai tender terbuka iaitu kononnya tidak adil kepada orang Melayu, tapi melalui penjelasan yang kita dapat, majoriti kontrak kerajaan negeri yang dibuat melalui sistem tender terbuka diperoleh kontraktor bumiputera dan Melayu," katanya.
Dalam pada itu, mesyuarat MPP hari ini turut bersetuju untuk merujuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Zaid Ibrahim kepada lembaga disiplin kerana mengkritik parti yang dianggap tidak tegas mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Zulkifli Noordin.
"Kalau begini (rujuk ke lembaga disiplin) nampak lebih telus, kita nak jaga kewibawaan pimpinan parti supaya jangan ada orang yang boleh beri pendapat peribadi dengan menyerang sesiapa sahaja," katanya.
Anwar juga menegaskan parti itu mempunyai perlembagaan dan prinsip yang perlu dipatuhi dalam menangai pelbagai isu terutamanya yang melibatkan tindakan disiplin.
"Ingin saya memberi nasihat kepada pihak yang melobi supaya tindakan pemecatan segera dibuat... kita ada prinsip, kita mesti tunduk kepada perlembagaan dan peraturan.
"Jangan sampai sebab kita marah dan ada tuntutan (untuk pecat), kita ketepikan peraturan serta tak bagi ruang untuk seseorang itu bela diri," katanya.
Oleh yang demikian, sehingga kini seramai tiga orang pemimpin PKR telah dirujuk kepada lembaga disiplin parti itu untuk tindakan lanjut.
Anwar juga menafikan beliau dan pemimpin lain parti itu termasuk pimpinan Pakatan Rakyat tidak boleh dikritik.
"Saya tak ada masalah kalau nak kritik saya, kita beri ruang.
"Tapi menyerang YB Guan Eng dengan kata beliau amalkan diktator, cauvinis dan berpemikiran komunis adalah tidak benar kerana selama ini memang ada perbincangan dibuat dalam banyak hal... tapi bagaimanapun pada akhirnya beliau akan buat keputusan sebagai Ketua Menteri," katanya.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan