Pengertian Nyanyian
1) Meninggikan suara (bersuara dengan lantang dan jelas) yang disertai dengan pengulangan lirik sama ada mempunyai irama muzik atau tanpa irama.
2) Setiap individu yang meninggikan suaranya (menyebut dengan suara yang jelas dan lantang) dengan menyebut sesuatu perkara lantas diulang-ulang kalimah tersebut berulang kali, maka itu dikira nyanyian menurut masyarakat Arab. (Abu Sulaiman Al-Khutobi)
3) Mengangkat suara (menyebut dengan jelas) dengan membaca syair. (Fuqaha' Mazhab Syafi'e)
HUKUM LELAKI MENDENGAR NYANYIAN WANITA BUKAN MAHRAMNYA
"Kami telah menyebutkan bahawa nyanyian wanita ajnabiah untuk meraikan majlis-majlis yang membawa kepada kemaksiatan ataupun pendengar-pendengar nyanyian yang takut sekiranya mereka mendengar nyanyian dari penyanyi-penyanyi wanita akan menyebabkan berlakunya fitnah, maka di dalam kedua-dua situasi ini hukum nyanyian adalah haram. Adapun yang dimaksudkan dengan fitnah di sini ialah perkara-perkara yang ditegah oleh Islam. Sekiranya nyanyian hamba wanita itu dipersembahkan kepada tuannya, maka tidak berlakunya sebarang larangan daripada syara'. Maka keharusan mendengar nyanyian hamba wanita ini turut meliputi kepada lelaki-lelaki lain yang bukan tuan kepada si penyanyi wanita ini apabila tiada di sana perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah".
(Imam Al-Ghazali)
DALIL YANG MEMBENARKAN LELAKI MENDENGAR NYANYIAN WANITA
1) Kisah dua jariah yang menyanyi di rumah RasululLah s.a.w. :-
Ibn Hajar Al-'Asqalani ketika menghuraikan hadis ini telah menyebutkan bahawa harus mendengar nyanyian hamba wanita dengan syarat nyanyian tersebut sunyi daripada unsur-unsur fitnah.
2) Kisah nazar seorang hamba wanita:-
Daripada Buraidah "RasululLah s.a.w. telah pergi berperang dalam satu peperangan. Setelah Baginda pulang dari peperangan, datang seorang hamba wanita berkulit hitamlantas berkata" : "Ya RasululLah! Sesungguhnya aku bernazar sekiranya Allah Taala mengembalikanmu dari peperangan dalam keadaan sejahtera, aku akan bermain kompang di hadapanmu dan menyanyi" Maka kata RasululLah s.a.w.: "Kalau kamu telah bernazar, maka pukullah (kompang sebagaimana kamu bernazar). Sekiranya tidak (bernazar) maka tidak perlulah (memukul kompang)."
Hadis ini berkaitan dengan masalah nazar. Sebagaimana kita ketahui, nazar tidak boleh dilaksanakan melainkan perkara yang dinazarkan itu bertepatan dengan syara'. Apabila RasululLah s.a.w. membenarkan hamba wanita itu menunaikan nazarnya, ini membuktikan bahawa nyanyian seorang wanita di hadapan lelaki yang bukan mahramnya adalah harus apabila tidak berlaku sebarang fitnah.
SYARAT DAN ETIKA YANG MENGHARUSKAN NYANYIAN WANITA
1) Isi nyanyian hendaklah bertepatan dengan kehendak Islam. Segala bentuk lirik nyanyian yang menyalahi syariat Allah S.W.T. adalah haram.
2) Penyampaian nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam. Islam mengharamkan segala bentuk nyanyian apabila si penyanyi mendedahkan aurat, melakukan gerak badan yang memberahikan atau si penyanyi mempersembahkan nyanyian dengan suara yang lucah yang boleh menyebabkan fitnah serta rangsangan nafsu yang kotor di kalangan penonton sekalipun lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu yang baik.
3) Suasana majlis persembahan nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam. Percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sebarang sekatan dan had, majlis tari-menari di kalangan lelaki dan wanita yang juga bukan mahram, berlakunya acara minuman keras dan seumpamanya merupakan faktor yang menyebabkan satu-satu agenda yang baik dari segi matlamat pada asalnya berubah menjadi satu bentuk penderhakaan kepada Allah S.W.T. lantaran maksiat yang mewarnai majlis tersebut.
4) Nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak dan kewajipan yang lain terabai seperti solat, hak mencari nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.
5) Setiap pendengar dan penonton adalah mufti kepada dirinya sendiri. Apabila satu-satu nyanyian adalah harus berdasarkan empat syarat yang telah disebutkan di atas, tetapi nyanyian itu telah menyebabkan penonton tersebut secara individu terangsang nafsunya lantas mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak selayaknya difikirkan, maka ketika itu hendaklah si pendengar atau penonton tersebut menjauhi nyanyian tersebut disebabkan kesan negatif yang timbul di dalam dirinya sendiri. Konklusinya, setiap pendengar kepada satu-satu nyanyian yang halal adalah mufti kepada dirinya sendiri.
"Muzik merupakan satu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia selaku khalifah Allah S.W.T. di atas muka bumi ini. Islam tidak datang untuk memerangi fitrah, tetapi Islam datang untuk memimpin dan menuntun fitrah agar tidak lari dari manhaj dan landasan Islam."
http://nisa-selangor.blogspot.com/
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan