Zaid saman fitnah Sayuti, Norzah, Buletin Rakyat

Sabtu, 10 Disember 2011

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim memfailkan saman RM30 juta terhadap penulis politik, Mohd. Sayuti Omar dan dua lagi kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya dalam akhbar Buletin Rakyat pada bulan lalu.
Zaid mendakwa artikel bertajuk ‘Zaid terus hanyut dalam keegoannya’ yang ditulis oleh Mohd. Sayuti dan disiarkan di muka surat 16 akhbar dwi-mingguan itu pada 1 November lalu telah menjejaskan reputasinya dengan teruk.

Selain Mohd. Sayuti selaku defendan pertama, Zaid, 60, sebagai plaintif menamakan pengarang akhbar tersebut, Norzah Kepol dan penerbitnya, Kantung Network Sdn. Bhd. sebagai defendan kedua dan defendan ketiga.

Writ saman tersebut difailkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melalui firma guaman, Tetuan Bashir & Co. di Mahkamah Tinggi di sini pada 21 November lalu.

Beserta saman berkenaan, Zaid turut mengemukakan permohonan injunksi interim (sementara) bagi menghalang pihak defendan atau pekerja-pekerja atau ejen-ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata yang didakwa fitnah itu atau perkataan yang sama makna dalam akhbar, Internet atau medium-medium lain.

Beliau juga memohon perintah interim agar pihak defendan menarik balik atau memadamkan kata-kata tersebut sama ada yang terkandung dalam suratkhabar terbabit atau Internet atau medium-medium lain sehingga pelupusan permohonan berkenaan.

Pada prosiding di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof hari ini, mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk mengetahui sama ada pihak defendan telah melantik peguam masing-masing atau penyelesaian permohonan tersebut.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, kata-kata tersebut antara lain bermaksud atau secara kiasan beliau memiliki moral politik yang rendah, ego, bersikap autokratik dan tidak menghormati orang lain.

Dakwa plaintif, peguam caranya telah menyerahkan notis pada 2 November lalu kepada pihak defendan supaya menarik balik dan memadamkan kata-kata tersebut selain mengemukakan permohonan maaf kepadanya tetapi mereka enggan berbuat demikian.

Berikutan itu, Zaid menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada setiap defendan selain ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah dan kos.

Plaintif juga menuntut perintah muktamad berhubung permohonan injunksi dan penarikan balik kata-kata yang didakwa memfitnah tersebut selain menyiarkan penarikan balik serta permohonan maaf di akhbar tersebut.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan