Dr. M akan tulis sambungan buku Dilema Melayu

Sabtu, 10 Disember 2011

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan akan menulis sambungan buku Dilema Melayu, karyanya yang pernah menjadi kontroversi sekitar 1970.
Beliau sedang melihat semula kandungan buku pertama yang ditulisnya itu, sama ada ia masih relevan atau tidak ekoran banyak perkara khasnya membabitkan orang Melayu telah berubah.
Katanya, tempoh masa lapan tahun mungkin diperlukan berdasarkan pengalamannya menulis buku bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

‘‘Saya tidak akan menjelaskan dengan lebih lanjut kerana akan hilang kejutannya,” katanya pada majlis pelancaran buku versi elektronik, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad di Mid Valley Megamall di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Datuk Ng Tieh Chuan yang bertanyakan mengenai projek terbaru yang sedang dirancang Dr. Mahathir.

Buku Dilema Melayu yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada 1970 dan hanya ditarik balik selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Dalam soalan berasingan, mengenai dakwaan pengharaman buku bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Mahathir menyifatkan Kuan Yew boleh bercakap apa yang beliau suka.

Katanya, beliau sendiri juga boleh berkata mengenai Kuan Yew namun, baginya ia tidak bermanfaat.
‘‘Setiap manusia mempunyai pendapat yang berbeza dan setiap Muslim juga mempunyai idea yang berbeza mengenai perkara yang memberi kesan kepada orang Islam,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai visi beliau selepas 2020, Dr Mahathir berkata, beliau mahu Malaysia terus menjadi negara aman dan makmur di mana rakyatnya saling mengenali dan menghormati satu sama lain walaupun mungkin beliau sudah tidak ada lagi pada ketika itu.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan