Rabu, 29 Disember 2010
JOHOR BAHARU, 29 Dis — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memberi amaran kepada pihak yang berkenaan agar tidak melaksanakan sebarang bentuk kempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kerana tempoh berkempen hanya bermula pada 22 Januari depan.
Pengarah SPR Johor Othman Noh berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Bagaimanapun setakat ini berdasarkan laporan risikan dan ejen, kami tidak menerima sebarang aduan tentang aktiviti kempen di DUN Tenang,” katanya pada sidang media di sini.
SPR telah menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 30 Januari. Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.
Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 2,491 undi mengatasi calon PAS, Mohd Saim Siran.
Othman berkata SPR juga telah mula menjual borang pencalonan untuk pilihan raya kecil itu namun belum ada yang membelinya.
“Kami ada menerima beberapa pertanyaan mengenainya,” kata beliau.
SPR katanya mensasarkan 80 peratus daripada 14,753 pengundi akan menunaikan tangungjawab mereka pada pilihan raya kecil ini berbanding 73.5 peratus pada pilihan raya umum lepas. — Bernama
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan