SUK : Menteri Besar Tidak Dimaklum Perlantikan Khusrin

Selasa, 28 Disember 2010

Dari TV Selangor

Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin berkata perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri masih belum muktamad.

Sebelum ini menurut laporan Bernama,Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Mohd Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember.

Justeru menurut Faekah yang dihubungi TV Selangor berkata Kerajaan Negeri turut kesal dengan pengumuman tersebut disebabkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dimaklumkan berhubung perlantikan tersebut.

“Perlantikan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad.

“Kita tidak dimaklumkan hasrat atau niat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ataupun KSN untuk meletak Khusrin…kita tidak tahu dan tidak di’consult’, dipanggil bicara dan dimaklum.

“Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada Tuanku untuk menyatakan kekesalan kita di mana Menteri Besar tidak dimaklumkan.

“Kita juga telah mendapat perkenan Tuanku untuk mengadap hari Rabu ini. Saya percaya mungkin untuk membincangkan perkara tersebut.

“Belum muktamad kerana kita mempunyai nama lain dan kita telah melakukan proses pemilihan yang telus dengan menubuhkan jawatankuasa pemilihan,” ujar Faekah.

Kerajaan Negeri juga katanya turut mengusulkan nama lain bagi jawatan tersebut dan telah melalui proses pemilihan calon yang telus melalui jawatankuasa pemilihan yang ditubuhkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad tidak menolak kemungkinan perlantikkan tersebut berbaur politik di mana Khusrin dilihat pendekatan memihak dan kecenderungannya kepada Umno-Barisan Nasional.

“Tindakan dia melalui pengalaman saya dengan dia, saya rasa jelas beliau bertindak mengikut kepentingan Umno dan dia mempunyai hubungan yang jauh lebih rapat dengan pimpinan Umno di peringkat negeri dan Pusat yang saya sendiri saksikan

“Semasa tauliah saya ditarik pun, saya rasa yakin ianya adalah atas permintaan Nawawi dan beliau bertindak mengikut kepentingan Umno-BN dan tidak prosesional dari segi itu.

“Ini merupakan sebab mengapa beliau dipilih oleh kerajaan persekutuan…ini juga menunjukkan kerajaan persekutuan tidak menghormati kehendak rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat,” ujar beliau.
Tambah Khalid, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberikan keutamaan kepada calon yang dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor.

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan