Sebagai seorang penterjemah bahan audiovisual dan seorang yang berminat dalam perihal bahasa (apatah lagi bukan dari golongan yang bergelar Bumiputera), saya ingin meluahkan kebimbangan dan rasa muak saya terhadap kontroversi PPSMI, penggunaan bahasa Inggeris dalam sekolah dan "krisis identiti" Bahasa Kebangsaan (nak panggil apa, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia?) yang semakin hari semakin sesat daripada menemui jalan penyelesaian, apatah lagi di tengah-tengah Bulan Bahasa Kebangsaan.
Demi memuaskan seramai mana pembaca, saya menggunakan istilah "Bahasa Kebangsaan" untuk merujuk kepada satu bahasa yang dipanggil bahasa Melayu atau bahasa Malaysia oleh masyarakat Malaysia yang berbelah-bagi, yakni bahasa yang digunakan dalam surat ini.
1. "Sengketa" sesama bahasaDemi memuaskan seramai mana pembaca, saya menggunakan istilah "Bahasa Kebangsaan" untuk merujuk kepada satu bahasa yang dipanggil bahasa Melayu atau bahasa Malaysia oleh masyarakat Malaysia yang berbelah-bagi, yakni bahasa yang digunakan dalam surat ini.
Pada pengamatan saya, didapati segelintir penyokong dasar itu mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menghina Bahasa Kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda yang lain, misalnya dengan mengatakan bahawa Bahasa Kebangsaan kita tidak berdaya maju terlalu banyak meminjam perkataan bahasa lain sejak dahulu kala. Itu tidak boleh dinafikan tetapi bukankah bahasa Inggeris banyak menyerap perkataan dari bahasa Latin, Yunani dan Perancis? Bolehkan dikatakan bahawa bahasa Inggeris lebih kuat meminjam perkataan asing berbanding Bahasa Kebangsaan kita sendiri?
Tingkah laku sedemikian yang ditunjukkan oleh puak pro-bahasa Inggeris itu bukan sahaja nyata tidak membina dan tidak mendatangkan manfaat kepada diri mereka, malah saya boleh menganggapnya sebagai dosa besar yang amat sukar diampunkan kerana hina-menghina ini hanya boleh memburukkan ketegangan hubungan sesama masyarakat pelbagai budaya, di samping menghilangkan rasa minat untuk belajar bahasa Inggeris di kalangan mereka yang tidak fasih. Saya yang mengakui fasih berbahasa Inggeris pun berasa amat malu dan kecewa dengan sikap mereka yang kelihatan tidak waras.
Lebih buruk lagi, golongan muda yang mudah terpengaruh dengan hasutan sebegini akan didorong untuk melupakan bahasa sendiri dan mengutamakan bahasa Inggeris ketika berbual dengan anak cucu pada masa akan datang. Dengan ini, ramailah "mat saleh celup" yang lahir dan semakin menularnya pemikiran "zero-sum", yang mana Bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris itu dianggap tidak serasi dan hanya salah satu boleh diambil sepanjang hayat.
Kadang-kadang saya berpendapat bahawa pelaksanaan PPSMI ini sengaja tidak dirancang dengan betul oleh pihak berwajib sehingga membuat sesetengah rakyat kita (terutamanya golongan luar bandar) merasa benci kepada bahasa Inggeris, setelah sekian lama disogokkan dengan drama-drama tempatan yang sesetengahnya kuat berbahasa rojak yang lama-kelamaan merancui Bahasa Kebangsaan sambil meninggalkan gambaran buruk tentang bahasa Inggeris kepada mereka.
2. Pengaruh bahasa Inggeris tak terkawal?
Kegusaran terhadap pengaruh negatif bahasa Inggeris dalam kebudayaan sedunia jika tidak dikawal juga pernah diluahkan oleh ahli-ahli linguistik yang berasal dari England dan Amerika. David Graddol dalam kertas kerja "The future of English" (1997) terbitan British Council, berpandangan bahawa penyebaran bahasa Inggeris yang terlalu berleluasa hingga mengancam bahasa-bahasa lain boleh disamakan dengan penebangan hutan secara eksploitasi, sehingga mampu mendorong masyarakat dunia supaya menentang peluasan bahasa Inggeris yang dikaitkan dengan kemusnahan kepelbagaian budaya, pencabulan hak asasi manusia, imperialisme budaya global dan menjadi-jadinya ketidaksamaan sosial.
Dalam sebuah wawancara bersama Riz Khan di saluran Al Jazeera English pada Oktober 2010, Robert Phillipson, seorang ahli linguistik yang terkenal kerana sering membincangkan "imperialisme bahasa Inggeris", berhujah bahawa tekanan yang dirasai masyarakat di Singapura untuk menguasai bahasa Inggeris semata-mata demi mengukuhkan daya saing ekonomi membuat separuh jumlah rumah tangga di situ mengetepikan bahasa ibunda dan bertutur dalam bahasa Inggeris dalam rumah.
Tambah Phillipson lagi, ramai golongan elit Arab menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa yang amat menekankan bahasa Inggeris sehingga anak-anak itu kurang fasih berbahasa Arab, serta mengakui ramai juga golongan belia Arab di rantau Teluk yang "merojakkan" bahasa Arab dan Inggeris gara-gara tiadanya dasar kerajaan yang kukuh untuk memartabatkan bahasa tempatan sambil memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris.
Masalah mengimbangi bahasa oleh masyarakat kita nyata banyak persamaannya dengan kegusaran yang diluahkan oleh saudara-saudara Phillipson dan Graddol. Hujah-hujah mereka ini wajar dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak pro-bahasa Inggeris dan pro-Bahasa Kebangsaan/ibunda dalam perjuangan masing-masing.
Jika kita melihat pendekatan mengajar bahasa ibunda dan bahasa luar negara di negara-negara maju khusunya di Eropah dan Asia Timur, mereka tidak mementingkan berapa lama masa yang diperuntukkan dalam jadual untuk mata pelajaran bahasa tersebut, sebaliknya mereka menekankan mutu dan kekayaan sukatan pembelajaran di samping menjadikan sistem pendidikan berteraskan kefahaman dan pemikiran kritis dan bukan sistem penghafazan yang diamalkan di negara kita.
Jika orang Jerman cepat dan mudah menguasai bahasa Inggeris walaupun hanya mempelajarinya di sekolah selama tidak lebih tiga jam seminggu (tanpa mengajar mata pelajaran lain dalam bahasa itu), apatah lagi kurang pendedahan kepada bahasa Inggeris dalam media massa disebabkan dasar Bahasa Kebangsaan yang tegas di negara itu, mengapakah setelah terlalu lama belajar bahasa Inggeris dan juga belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, di samping banyaknya bahan-bahan yang berbahasa Inggeris di corong radio dan kaca TV, penguasaan bahasa Inggeris rakyat Malaysia masih lemah?
3. Menyelamatkan bahasa kita
Pejuang Bahasa Kebangsaan juga sama bersalah kerana terlalu mengharapkan sistem pendidikan untuk memartabatkan bahasa, tanpa menyedari bahawa peranan Bahasa Kebangsaan di luar pagar sekolah agak luntur sekarang berbanding zaman dahulu. Sekalipun kerajaan kelak terpaksa akur kepada kehendak pihak pro-bahasa Inggeris supaya PPSMI dan sekolah berpengantar bahasa Inggeris dipulihkan, masih ada banyak cara lain yang berkesan untuk melestarikan dan memajukan Bahasa Kebangsaan baik di dalam mahupun di luar sektor pendidikan.
Saya melihat bahawa acara Bulan Bahasa Kebangsaan masih di takuk lama, iaitu hanya menyasarkan murid-murid sekolah dan sektor awam dan mengetengahkan acara-acara berlagu, deklamasi pidato dan puisi tanpa memikirkan langkah-langkah yang asas dan proaktif untuk menyergahkan Bahasa Kebangsaan dalam kehidupan seharian.
Antara cadangan-cadangan yang boleh saya kemukakan untuk menambahbaik martabat Bahasa Kebangsaan ialah:
3.1. Membetulkan penggunaan bahasa
Penggunaan bahasa rojak, bahasa cacamarba dsb. dalam media massa (termasuk Internet) perlu dibendung, tetapi bukan dengan mengawasi dan menghukum terus mereka yang membuat kesalahan (kerana sememangnya ia agak keras), sebaliknya dengan mendidik seluruh masyarakat, terutamanya golongan ahli politik, usahawan dan seniman selaku golongan tokoh ternama yang paling cenderung berbahasa rojak, tentang kesan buruk bahasa rojak kepada Bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris dalam jangka masa yang panjang. Bahasa yang ingin berkembang maju perlu menyerap perkataan asing tetapi jangan sampai terlalu banyak hingga menggantikan kata-kata yang sedia ada dan menimbulkan senario bahasa kita jadi 'kembar' bahasa Inggeris.
Seperti yang saya telah katakan tadi, bahasa rojak bukan sahaja merancui Bahasa Kebangsaan dengan kata-kata serapan Inggeris yang tidak perlu serta menjejaskan keutuhan tatabahasa, malah ia juga meninggalkan gambaran yang buruk kepada rama rakan-rakan kita khususnya di luar bandar yang dikehendaki menuntut ilmu dalam bahasa Inggeris, seolah-olah bahasa antarabangsa itu merupakan anasir yang mengakis dan mengancam kelestarian bahasa ibunda. Proses penyerapan istilah bahasa asing untuk memperkaya kosa kata Bahasa Kebangsaan wajar dilakukan secara sistematik dan melibatkan penelitian menyeluruh seperti menyemak sama ada wujudnya istilah sedia ada dalam kosa kata.
3.2. Memartabatkan bahasa dalam Internet
Laman-laman web tempatan yang ditujukan khusus kepada pengguna Internet tempatan (iaitu yang tidak begitu berguna kepada pengguna antarabangsa) wajar memberikan perhatian yang sekian lama ditunggu-tunggu kepada Bahasa Kebangsaan, terutamanya sektor peruncitan, perkhidmatan, kewangan dan perbadanan bukan kerajaan yang menyasarkan pengguna pelbagai kaum. Ini wajar dilakukan dengan menyediakan pilihan Bahasa Kebangsaan kepada mereka yang mengehendakinya, lebih bagus kalau dijadikan bahasa asali (default). Saya pasti, ramai penduduk Malaysia khususnya penduduk pekan dan luar bandar merasa kecewa jika melihat tanda-tanda Bahasa Kebangsaan diperlekehkan. Mujurlah laman-laman dari luar negara seperti Google, Facebook dan Twitter menyediakan pilihan Bahasa Kebangsaan, ini memperlihatkan seolah-olah orang Amerika lebih prihatin terhadap Bahasa Kebangsaan berbanding rakyat Malaysia sendiri.
Portal berita alternatif yang selama ini berjuang demi kebebasan akhbar tidak wajar melupakan tanggungjawab mereka untuk melestarikan Bahasa Kebangsaan. Khusus buat The Malaysian Insider, Malaysian Digest Free Malaysia Today, janganlah bermalas dengan sekadar mencampurkan Bahasa Kebangsaan ke dalam lautan artikel berita berbahasa Inggeris, sebaliknya bukalah portal berita berbahasa kebangsaan sepenuhnya yang tidak berada dalam bayangan portal berbahasa Inggeris yang sedia ada. Yang sudah berbuat demikian, syabas diucapkan, tetapi adalah lebih elok untuk portal versi Bahasa Kebangsaan diberi nama yang berasingan dalam Bahasa Kebangsaan daripada berkongsi nama dengan versi bahasa Inggeris.
3.3. Memperagakan kekayaan kosa kata
Masyarakat wajar melatih diri supaya menggunakan sebanyak mana istilah-istilah yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, terutamanya istilah teknologi maklumat kerana semakin ramai pengguna komputer dan telefon pintar. Sepatutnya komputer-komputer kita dilengkapi dengan perisian yang berantaramuka (interface) dalam Bahasa Kebangsaan, siap lagi dengan penyemak ejaan (spell-checker) Bahasa Kebangsaan yang terpasang sedia (tidak seperti Dewan Eja Pro yang perlu dibeli dan menyusahkan golongan berpendapatan rendah), barulah Bahasa Kebangsaan nampak martabatnya.
Akan tetapi, saya memahami bahawa ada sesetengah istilah yang agak lari dari maksud istilah asal dan boleh menimbulkan kekeliruan (contohnya, default diterjemahkan menjadi "lalai" oleh DBP) ini pun masih boleh dibetulkan dengan memberikan kritikan dan cadangan membina kepada badan pemantau bahasa tersebut (berbalik kepada contoh tadi, saya syorkan "asali"). Ada baiknya juga DBP distrukturkan semula dan diperbaharui menjadi sebuah badan pemajuan Bahasa Kebangsaan yang bebas daripada pengaruh politik yang rakus seperti yang dialami sekarang.
3.4. Memajukan penterjemahan
Bidang penterjemahan buku dan karya sastera wajar dimajukan lagi hingga sejauh mana yang mampu, bukan semata-mata untuk memuaskan kehendak mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris, malah sebagai langkah untuk menunjukkan kemampuan Bahasa Kebangsaan untuk mengungkapkan gagasan-gagasan yang dizahirkan di negara luar. Negara-negara Eropah yang kecil dan sedikit jumlah penduduknya berbanding negara kita seperti Belanda, Denmark, Norway, Sweden dan Finland tidak menjadikan kekurangan penutur asli bahasa masing-masing sebagai alasan untuk tidak menterjemahkan bahan-bahan dari bahasa yang lebih besar kepada bahasa masing-masing, sebaliknya menggunakan penguasaan bahasa asing sebaiknya untuk mempergiatkan industri terjemahan kepada bahasa ibunda masing-masing. Tengok, dah fasih berbahasa Inggeris pun masih nak baca bahan terjemahan, inilah sikap yang wajar dicontohi untuk menyelesaikan kemelut bahasa di negara kita.
Institusi pendidikan tempatan yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar (misalnya sekolah dan maktab swasta) wajar menubuhkan kelab-kelab Bahasa Kebangsaan untuk memupuk rasa cinta kepada Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar tempatan di samping menarik minat pelajar luar negara kepada bahasa kita. Antara kegiatan-kegiatan yang boleh dilakukan oleh kelab-kelab sebegini ialah menterjemahkan rencana-rencana Wikipedia dari bahasa Inggeris atau apa sahaja bahasa asing kepada Bahasa Kebangsaan secara berkumpulan di samping melakukan kegiatan kokurikulum yang berketengahkan Bahasa Kebangsaan seperti seni pementasan drama dan permainan kuiz. Mari kita tengok sejauh mana kita boleh menterjemahkan drama-drama karya Shakespeare ke dalam nuansa Bahasa Kebangsaan.
3.5. Alih suara
Semua rancangan televisyen dan filem import yang dikhususkan kepada kanak-kanak, termasuk yang bahasa asalnya bahasa Inggeris, wajar dialih suara (bukan sekadar diberi sari kata) ke Bahasa Kebangsaan sebagai langkah yang penting untuk memupuk cinta anak muda kepada Bahasa Kebangsaan. Selain itu, dengan industri televisyen kanak-kanak yang tidak terlalu mendewa-dewakan bahasa Inggeris, ini sedikit sebanyak mengikis tanggapan bahawa bahasa Inggeris merupakan anasir imperialisme budaya. Amalan mengalih suara animasi buatan Disney dan sebagainya kepada bahasa-bahasa ibunda telah sekian lama diamalkan di kebanyakan negara di dunia, dan ini tidak serba sedikit menghalang anak-anak muda daripada menguasai bahasa Inggeris di masa hadapan. Sama seperti hujah amalan penterjemahan bahan bacaan tadi, inilah tradisi yang diamalkan untuk memupuk budaya sihat "junjung bahasa sendiri, kendong bahasa luar" di kalangan masyarakat luar negara. Jika tidak percaya, carilah "disney multilanguage" dalam YouTube, barulah anda faham maksud saya.
Tiada salahnya mengedarkan filem dan rancangan televisyen import dalam bahasa asal pada pokoknya, tetapi dalam bab tontonan kanak-kanak dan golongan muda, adalah amat wajar untuk pengedar filem menayangkan filem-filem tontonan seisi keluarga (family film) dalam versi alih suara Bahasa Kebangsaan di samping versi bahasa asal dalam pawagam, dan juga mengedarkan DVD filem-filem berkenaan dengan runut audio Bahasa Kebangsaan di samping bahasa asal dan bahasa-bahasa lain.
4. Kata akhir
Demikianlah antara cadangan-cadangan bernas yang saya ingin sampaikan kepada seluruh masyarakat, sama ada mereka prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh Bahasa Kebangsaan atau tidak. Maaflah jika anda mendapati saya terlalu memberati Bahasa Kebangsaan kerana sesungguhnya inilah tujuan utama surat ini, tetapi jika anda membaca dengan teliti saya turut mengharapkan cara-cara yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa antarabangsa tanpa mengundang masalah kepada Bahasa Kebangsaan dan jati diri bangsa.
Kita sudah terlalu banyak membuang masa untuk memikirkan nama yang sesuai untuk Bahasa Kebangsaan kita tanpa mengambil tindakan yang membina untuk memastikan kemandirian bahasa ini dalam arus pengglobalan (globalisasi) yang deras. Tunggu apa lagi? Jangan memandai cakap sayang bahasa, buatlah sesuatu tanpa terlalu bersandar pada dukungan kerajaan. Hendak seribu daya, jangan seribu dalih!
Saya berharap agar tuan editor bersikap cermat jika mendapati surat saya begitu panjang lebar sungguh dan perlu disunting kerana setiap satu patah kata dan ungkapan dalam surat ini adalah penting kepada keseluruhan erti mesej yang disampaikan. Sekian, terima kasih.
Yang benar,
ORANG AWAM
0 comments:
Catat Ulasan