Anak bekas mufti Perlis didakwa

Selasa, 2 Mac 2010

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

KUALA PILAH 1 Mac –
Anak bekas Mufti Perlis, Fathul Bari Mat Jahya mengaku tidak bersalah ketika didakwa dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan mengajar tanpa tauliah di negeri ini.

Tiga pengikut kanannya, Abdullah Sanusi Othman, 40; Nik Amirul Faiz Nik Md. Yusof, 25; dan Khairudin Daud, 55, masing-masing turut membuat pengakuan yang sama atas kesalahan bersubahat dengan pendakwah bebas itu.

Fathul Bari, 30, didakwa mengajar tanpa tauliah di Maahad Ittiba Sunnah, Kilometer 1.5, Jalan Lama Seremban-Kuala Pilah, semalam.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Mohd. Al Hafid Ismail mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004).

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Mohd. Al Hafid Ismail mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004).

Ketiga-tiga pengikutnya pula didakwa bersubahat dengan Fathul Bari pada tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 34 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang dibaca bersama Seksyen 37 enakmen sama.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, setiap tertuduh boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun.

Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusemin membenarkan Fathul Bari dibebaskan dengan jaminan RM2,200 bersama dua penjamin di kalangan penjawat awam.

Beliau juga memerintahkan ketiga-tiga pengikut penceramah itu masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM2,000 berserta seorang penjamin di kalangan penjawat awam.

Zainal menetapkan 5 April ini untuk perbicaraan kes tersebut.

Terdahulu, Fathul Bari memohon jaminan dikurangkan di antara RM50 dan RM100 dengan alasan dia masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Fathul Bari yang beralamat di Utan Kandis, Arau, Perlis merupakan lulusan Universiti Madinah dan memperoleh Ijazah Sarjana di Jordan. Dia kini mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah di UIAM.

Semalam Fathul Bari bersama tiga pengikut kanannya ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika sedang mengajar di hadapan hampir 50 orang awam di Maahad Ittiba Sunnah.

Kesemua mereka ditahan pada pukul 11.30 pagi sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Pilah untuk siasatan. Beberapa buku dan peralatan yang digunakan turut dirampas dalam serbuan itu.

- Utusan Malaysia
Baca Lagi...

Zulkifli Noordin Kekal Dalam PKR

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA:
Cakap-cakap bahawa Zulkifli Noordin akan mengikuti jejak langkah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee beng dan bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim keluar parti belum menjadi kenyataan.

Sebaliknya hari ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu memberi jaminan tidak akan menuruti tindakan dua rakannya itu malah akan terus berjuang melawan 'firaun kecil' yang didakwa wujud dalam parti itu.

Menurutnya, beliau akan kekal dalam parti bagi memerangi kumpulan berkenaan dan mempertahankan haknya.

"Saya sejak daripada awal telah menyebut beberapa kali, firaun-firaun kecil ini memang tak sabar nak tunggu saya keluar.

"Mereka bawa banyak tohmahan dan cerita... tapi saya beri jaminan bahawa saya tak akan keluar daripada parti dan saya akan lawan mereka," katanya kepada pemberita selepas menemui lembaga disiplin parti di sinihari ini.

Selain itu Zulkifli juga menafikan beliau merupakan salah seorang daripada sepuluh wakil rakyat dan pemimpin PKR yang dijangka keluar daripada PKR seperti yang didakwa bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim hari ini.

Berhubung pertemuannya dengan lembaga disiplin parti sebelum itu, Zulkifli berkata, beliau telah membangkitkan lapan isu yang perlu dijawab oleh pihak berkenaan sebelum perbicaraan terhadapnya dijalankan.

Oleh yang demikian pihak lembaga terbabit menangguhkan sehingga Khamis ini bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkannya.

"Jadi Khamis ini saya akan datang semula bagi mengetahui mengenai isu yang saya bawa itu," katanya yang mengakui diberi peluang yang seadilnya oleh pihak lembaga berhubung kesnya itu.

Zulkifli dirujuk ke lembaga disiplin parti berikutan laporan polis yang dibuat beliau terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Menurut Zulkifli, beliau sebelum ini telah menghantar surat kepada pihak lembaga disiplin bertarikh 16, 23 dan 27 Februari lepas bagi membangkitkan mengenai lapan isu berkenaan.

Difahamkan salah satu daripada lapan isu yang dibangkitkan berkenaan ialah beliau mahu anggota lembaga disiplin yang akan mendengar keterangannya mestilah terdiri daripada orang yang beragama Islam.

Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan mengenai perkara tersebut.

Mengenai dakwaan yang mengatakan beliau sengaja menggunakan pelbagai alasan supaya PKR mengambil keputusan memecatnya daripada parti, beliau berkata: "Mengapa pula saya nak buat macam itu, saya sendiri boleh pecat diri sendiri jika saya nak."

Dalam pada itu Zulkifli turut menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyatakan sokongan terhadap Anwar.

"Saya boleh beritahu hubungan dengan Anwar tak ada masalah, malahan saya berpendapat sepatutnya dalam keadaan kritikal seperti ini, kita perlu bergabung tenaga untuk mempertahankan anwar.

"Tapi firaun kecil ini memilih untuk menimbulkan masalah," katanya.

Ditanya sama ada Anwar menyedari kewujudan firaun kecil berkenaan dalam PKR, beliau berkata: "Kadangkala mereka terlalu kecil sehingga tak nampak, tapi yang kecil-kecil ini timbulkan banyak masalah, macam anai-anai."

Sementara itu, ditanya sama ada beliau menerima tawaran daripada mana-mana parti politik untuk menyertai mereka, beliau dengan sinis menyatakan hanya DAP yang berminat dengannya.

"Saya rasa DAP nak saya menyertai mereka, saya dengar (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng mahukan saya.

"DAP memang sangat ghairah untuk mendapatkan saya," katanya sinis.

- MStar
Baca Lagi...

Patologi Tidak Dapat Pastikan Sama Ada Beng Hock Dicekik

SHAH ALAM: Seorang ahli patalogi memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini yang beliau tidak dapat memastikan sama ada Teoh Beng Hock mengalami asfiksia akibat dicekik atau dijerut.

Dr Shahidan Md Noor dari Hospital Sungai Buloh berkata, asfiksia ialah keadaan di mana berlaku kekurangan teruk bekalan oksigen ke dalam tubuh yang menghalang individu daripada bernafas secara normal.

Katanya beliau tidak dapat memastikan sama ada arteri karotid yang menyalurkan darah beroksigen ke otak, telah ditekan akibat dicekik yang menyebabkan Beng Hock mengalami asfiksia.

Ini kerana arteri karotid telah dipotong dan dikelar semasa bedah siasat pertama, kata Dr Shahidan yang merupakan seorang daripada ahli patologi yang melakukan bedah siasat kedua ke atas Teoh pada 22 Nov tahun lepas.

Semasa diperiksa balas oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor, sama ada laporan bedah siasat pertama itu mendedahkan sebarang penemuan mengenai karotid, katanya "tidak".

Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di sini, yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Selangor, pada 15 Julai tahun lepas.

Dr Shahidan bersetuju dengan cadangan Malik bahawa jika seseorang itu mengalami gangguan serebrum hipoksia "lembut atau sederhana", keadaan di mana tisu otak tidak mendapat cukup oksigen akibat dicekik, seseorang itu boleh mengalami kekejangan atau malahan pengsan.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak fikir yang kemungkinan Beng Hock telah tidak sedarkan diri, bukan pada tahap mati, selepas dia dicekik atau dijerut pada tahap tertentu.

Katanya adalah juga mungkin lidah Beng Hock boleh diangkat akibat dicekik tetapi tidak bersetuju keadaan lidah yang bengkak seperti dilaporkan dalam bedah siasat kedua itu adalah akibat dicekik.

Beliau juga mempertahankan rumusannya mengenai kecederaan pada leher mangsa kemungkinan besar diakibatkan impak jatuh kerana leher mengalami "hyperflexing" dan "hyperextension" semasa insiden itu.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Malik bahawa kecederaan di leher Beng Hock berlaku kerana dagunya terkena pada lantai terlebih dahulu dan menjejaskan lehernya, berbanding kakinya merupakan anggota tubuhnya yang pertama terkena pada lantai, seperti dilaporkan dalam bedah siasat itu.

Dr Shahidan berkata kecederaan teruk yang dialami mangsa pada bahagian dalam lehernya bukan disebabkan sebarang mekanisme lain tetapi akibat jatuh.

Peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, turut menyoal Dr Shahidan secara panjang lebar mengenai kecederaan pada leher Teoh.

Beliau mahu tahu kenapa keadaan bengkak pada leher si mati tidak dimasukkan dalam laporan bedah siasat pertama, kenapa tidak disebut mengenai pemotongan pada otot, belakang, kaki dan tapak kaki untuk memastikan Teoh tidak dipukul semasa ditahan, yang menurutnya mencadangkan bahawa para doktor yang melakukan autopsi pertama mungkin telah melakukannya secara tidak telus dan tidak kompeten.

Bagaimanapun, Dr Shahidan berkata dalam laporan bedah siasat yang lepas, para doktor ada menyatakan mereka menemui kesan lelasan pada leher Beng Hock.


Baca Lagi...

Mohammad Fairus Keluar PKR, Sertai Umno

Isnin, 1 Mac 2010

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menerima tamparan hebat apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.

Menurut beliau keputusan berkenaan dibuat atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti.

"Saya dengan ini atas dasar mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa dan negara serta kepentingan rakyat malaysia, saya mengumumkan penyertaan saya dalam umno dan Barisan Nasional (BN).

"Oleh yang demikian dengan rasmi saya keluar daripada PKR atas dasar hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti tersebut," katanya pada majlis perjumpaan kepemimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia bersama Perdana Menteri di sini malam ini.

Pengumuman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut dibuat selepas hampir setahun menyepi daripada arena politik tanah air.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219.

Bagaimanapun beliau meletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang pada 8 April 2009 dan sebagai ADUN Penanti pada 16 April tahun yang sama atas alasan ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pasca ijazah.

Menurut Mohammad Fairus, beliau mengambil keputusan meningalkan PKR kerana parti itu dilihat tidak konsisten dalam mempertahankan agama dan bangsa Melayu.

"Kemuncak batas kesabaran saya ialah apabila isu kalimah Allah timbul, saya memantau setiap kenyataan pemimpin yang ada di Malaysia tanpa mengambil kira parti politik.

"Tapi bila lihat kenyataan pucuk pimpinan dan kenyataan rasmi PKR, ianya amat mendukacitakan... tenyata mereka begitu longgar mempertahankan perkara sepenting itu dan sedasar itu," katanya.

Pertengahan bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan tuduhan rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan aktiviti kuari haram di Pulau Pinang.

Kes berkenaan antara lapan kes berprofil tinggi yang ditutup SPRM.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan borang keahlian Umno kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya berkata, beliau sebagai Presiden Umno menerima penyertaan Mohammad Fairus dengan senang hati.

Katanya, beliau menyedari tindakan Mohammad Fairus menyertai Umno adalah atas dasar prinsip perjuangan dan bukan kerana jawatan.

"Kami terima dengan senang hati kerana saya tahu bahawa Fairus mengambil keputusan ini atas soal prinsip dan dasar (perjuangan), bukan kerana jawatan, bukan kerana ganjaran.

Selain itu Najib juga menyatakan keyakinan bahawa Mohammad Fairus mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada Umno.

"Selamat datang Fairus... kita akan jaga dia dengan baik, saya percaya dia boleh bagi sumbangan yang besar kepada Umno untuk membela nusa dan bangsa," katanya.

Tambah Najib lagi, tindakan Mohammad Fairus itu membuktikan PKR gagal mempertahankan prinsip untuk memartabatkan agama Islam.

"Fairus sudah hilang kepercayaan kepada PKR kerana parti itu gagal mempertahankan apa yang dianggap sebagai soal prinsip.

"Prinsip yang paling penting ialah maruah dan martabat agama Islam, dalam hal ini dia berpendapat PKR gagal berbuat demikian," katanya.

- MStar
Baca Lagi...

Anak pengasas Hamas dikatakan ejen Israel

Khamis, 25 Februari 2010

BAITULMAKDIS 24 Feb. - Anak seorang pengasas Hamas dikatakan berkhidmat sebagai ejen Israel untuk tempoh lebih sedekad dan telah membocorkan pelbagai maklumat sulit yang menggagalkan banyak serangan berani mati yang dirancang oleh Hamas.

Akhbar harian Haaretz melaporkan hari ini, individu terbabit, Mosab Hassan Yousef merupakan salah seorang penyampai maklumat paling berharga bagi agensi perkhidmatan keselamatan Israel, Shin Bet.

``Maklumat daripada Mosab membantu penangkapan beberapa individu berkedudukan tinggi ketika intifada berdarah Palestin yang bermula pada 2000,’’ kata Haaretz.

Bapa Mosab, Sheik Hassan Yousef yang merupakan salah seorang pengasas kumpulan militan Hamas pada 1980-an ketika ini berada dalam penjara di Israel.

Seorang jurucakap Hamas, Mushir al-Masri berkata, laporan Haaretz itu tidak lebih daripada sekadar karut dan bohong. - AP

Catatan Nabila: Dia dikatakan tukar agama menjadi kristian

Baca Lagi...

Kelantan Tiada Halangan Wanita Pegang Jawatan Tinggi - Nik Aziz

KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang halangan dan masalah dengan lebih ramai wanita memegang jawatan tinggi di dalam sektor awam berbanding lelaki.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perkara yang paling penting adalah mutu perkhidmatan dan kualiti kakitangan awam itu yang perlu diambil kira tanpa mengira kakitangan itu wanita ataupun lelaki.

"Di dalam Islam lelaki dan wanita sama sahaja. Tiada siapa yang lebih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin Isnin lepas bahawa trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Nik Abdul Aziz berkata di dalam Islam, lelaki hanya mendahului wanita sebagai pemimpin dalam rumahtangga.

"Bagi saya ianya tidak menimbulkan sebarang masalah jika ramai wanita memegang jawatan tertinggi di dalam sektor awam," katanya. - BERNAMA

Baca Lagi...

Keluarga Teoh Gembira Anak Beng Hock Bawa Nama Keluarga

ALOR GAJAH: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan permohonan berhubung penggunaan nama Teoh bagi anak yang dilahirkan tunang mendiang, Soh Cher Wai.

Kakak mendiang, Teoh Lee Lan berkata mereka sekeluarga gembira apabila di beritahu Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya bahawa Beng Hock akan dinamakan sebagai bapa dalam sijil kelahiran bayi itu.

Katanya keluarganya memutuskan untuk menamakan bayi lelaki itu dengan nama Teoh Er Jia.

Teoh, 30, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor, ditemui mati terjatuh di aras lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai selepas diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana oleh beberapa wakil rakyat Selangor.

Sebelum ini, keluarga mendiang telah membuat beberapa permohonan supaya nama Teoh dinamakan sebagai bapa kepada anak yang dilahirkan Soh.

Soh, yang kini masih dalam pantang di rumah keluarganya di Batu Pahat, Johor, melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.9 kilogram di Hospital Pantai, Batu Pahat, Johor pada 22 Feb.- BERNAMA

Baca Lagi...

Syed Hussin, Saya Mohon Maaf - Tee Beng

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr. Syed Husin Ali berhubung beberapa kenyataannya melalui media sebelum ini.

Katanya, permohonan maaf itu telah dipanjangkan kepada Lembaga Disiplin PKR dan beliau dimaklumkan perkara tersebut akan dirujuk kepada pihak pimpinan tertinggi.

"Walaupun kenyataan maaf saya ini tanpa kebenaran lembaga kerana mereka perlu merujuk dulu pada pimpinan tertinggi, saya ingin memohon maaf kepada Syed Husin berhubung semua kenyataan saya melalui media sebelum ini.

"Saya juga ingin menarik balik semua kenyataan saya terhadapnya sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas hadir memberi keterangan kepada lembaga disiplin di sini hari ini.

Beliau mengakui segala kenyataannya terhadap Syed Husin sebelum ini dipengaruhi perasaan marah, salah faham dan emosi.

"Semuanya salah faham, pada ketika itu saya memberi kenyataan mengikut perasaan marah dan emosi. Saya harap kita dapat meneruskan perjuangan parti sebagai sebuah keluarga," katanya.

Sebelum ini, Tee Beng mempersoalkan kesahihan pelantikan Syed Husin sebagai Timbalan Presiden PKR selepas mahkamah memutuskan bahawa Parti Rakyat Malaysia (PRM) masih wujud.

Pada sidang akhbar 3 Februari lalu, dia dengan lantang mempersoalkan gabungan PRM dan PKR kerana status parti itu.

Sebelum menyertai PKR, Syed Husin merupakan Presiden PRM. Malah Tee Beng juga mencabar Syed Husin supaya meletak jawatan dalam PKR.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan perjumpaannya bersama ahli lembaga disiplin parti hari ini ekoran kritikan kerasnya terhadap kepimpinan parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

"Saya berpuas hati dengan perjumpaan hari ini. Saya anggap semua isu berkaitan dengan diri saya sudah selesai," ujarnya.

Menurutnya lagi, perjumpaannya hari ini hanya menjawab segala soalan daripada ahli lembaga berhubung semua kenyataannya dalam media yang menimbulkan kontroversi dan keputusan akan dikeluarkan dalam masa dua minggu.

"Saya memberi kerjasama dan menjawab semua soalan mereka. Kita tunggu dan lihat apa keputusannya nanti, saya tidak boleh komen," katanya.

Ditanya mengenai kenyataannya terhadap Guan Eng dan adakah beliau akan memohon maaf seperti tindakannya kepada Syed Hussain, Tee Beng berkata, beliau tidak akan memohon maaf dan menarik balik kenyataan terhadap Guan Eng.

Sehubungan itulembaga disiplin parti untuk membuat penilaian.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada berbincang mengenai perkara tersebut semasa disoal oleh lembaga disiplin.

"Sudah tentu isu itu dibangkitkan...dan saya menjawab semua soalan yang ditanya berhubung kenyataan saya pada media.

"Isu saya dan Syed Husin adalah persengketaan dalam keluarga, manakala Guan Eng adalah persengketaan saya dengan 'jiran'. Saya serahkan kepada 'bapa' untuk menyelesaikannya dan saya tidak akan menarik balik kenyataan saya terhadapnya," katanya.

Dia turut menegaskan masih lagi seorang ahli PKR dan meminta media menghentikan segala spekulasi dirinya akan meninggalkan parti itu.

"Saya masih seorang ahli PKR, saya mohon kepada semua dan pihak media supaya menghentikan spekulasi saya akan meninggalkan parti. Itu tidak benar," katanya.


Baca Lagi...

Anwar Akui Salah Pilih Calon

Rabu, 17 Februari 2010

PULAU PINANG: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui beliau salah memilih beberapa calon bagi mewakili parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lepas.

"Calon bagi kerusi Parlimen saya yang pilih. Ketika itu PKR masih baru. Jadi kita terpaksa angkat (mereka)," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran PKR, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, PKR akan lebih berhati-hati bagi memastikan calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang tidak goyang, tetapi kuat dan bersih.

Minggu lepas, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengisytiharkan keluar dari PKR dan menjadi Anggota Parlimen bebas.

Beliau kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta kesal dengan perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang. - BERNAMA
Baca Lagi...

Tidak pernah dendam

Selasa, 16 Februari 2010

KUALA TERENGGANU – Irwan Affandi Che Mat, 30, tidak pernah berdendam dengan adiknya, Shahrul Azmi, 20, meskipun tindakan remaja itu menikamnya dengan menggunakan pisau rambo, 3 Februari lalu hampir meragut nyawanya.

Irwan Affandi yang baru pulang dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dikatakan telah memaafkan segala kesalahan adiknya kerana menganggap segala perlakuan itu dilakukan di luar batas kesedaran remaja terbabit.

Bapa saudaranya, Rozali Hassan, 48, berkata, hubungan rapat yang terjalin antara dua beradik itu menyebabkan mangsa mudah memaafkan adiknya walaupun sedar perkara itu membawa sejarah hitam dalam hidupnya.

Keakraban dan kemesraan mangsa dengan ahli keluarganya kata Rozali, dapat dilihat apabila perkara pertama yang ditanya Irwan Affandi sebaik sahaja dia sedar di HSNZ adalah keadaan bapa, ibu dan adik-adiknya.

“Saya beritahu bapanya sudah meninggal dunia, manakala adiknya terpaksa ikut undang-undang (dalam lokap), walaupun payah namun saya lihat dia boleh menerima hakikat itu dengan linangan air mata,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Irwan Affandi cedera parah dan berada dalam keadaan kritikal setelah dia ditikam adiknya sendiri menggunakan sebilah pisau rambo ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Pulau Duyong.

Bagaimanapun bapanya, Che Mat Nik, 51, seorang mekanik enjin bot meninggal dunia di tempat kejadian setelah turut ditikam oleh suspek ketika cuba membantu menyelamatkan mangsa.

Setelah 10 hari kejadian malang tersebut menimpa keluarnya, Irwan Affandi yang koma selama enam hari akibat tikaman itu akhirnya beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah petang kelmarin.

Namun begitu kata Rozali, anak saudaranya memilih untuk pulang ke rumah neneknya di Pulau Duyong, bukan rumah sendiri selain belum bersedia untuk berjumpa dengan pihak media kerana masih bersedih di atas insiden berkenaan.

“Keadaan fizikalnya sudah 70 peratus pulih, tapi emosinya masih ‘sakit’ kerana kejadian itu telah memberi kesan besar kepadanya, oleh itu dia tidak mahu balik ke rumahnya sebab tidak mahu ingatannya terganggu.

“Dia ada minta untuk menziarahi kubur arwah bapanya dan berjumpa adiknya di lokap, kami akan menunaikan permintaan itu selepas keadaannya pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Pulau Duyong.

Menurut Rozali, bagi mengubat kedukaan dan menghilangkan segala kisah hitam itu daripada fikiran kakak dan anak saudaranya, beliau bercadang untuk membawa mangsa dan ahli keluarganya bercuti apabila keadaan mengizinkan.

“Namun, apa yang membimbangkan saya adalah masa depannya (Irwan Affandi) kerana akibat tikaman itu organ penting seperti hati dan paru-paru cedera, mungkin dia tidak boleh melakukan kerja berat lepas ini,” katanya. _ SInar Harian
Baca Lagi...

Related Posts with Thumbnails

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan