SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan menemui pemimpin-pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi membincangkan isu wakil-wakil parti itu dalam majlis tempatan Selangor.
Setiausaha agung PSM S. Arutchelvan dilaporkan berkata bahawa ahli majlis Petaling Jaya V. Panneerselvam adalah satu-satunya wakil yang digugurkan dari kalangan tiga wakilnya dalam majlis tempatan baru-baru ini.
Dua lagi dilantik semula masing-masing dalam majlis tempatan Kajang dan Shah Alam.
Khalid akan menetapkan tarikh pertemuan itu tetapi berkata beliau akan menemui mereka tidak lama lagi dan mendengar aduan parti itu.Bercakap pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah dan penyerahan surat pelantikan kepada anggota-anggota majlis tempatan Selangor di sini hari ini, Khalid berkata beliau menerima hanya dua nama ahli majlis PSM dan bukan tiga seperti biasa dalam senarai baru ahli majlis tempatan.
Ditanya siapa yang memperakukan hanya dua nama, beliau berkata: "Pemilihan wakil-wakil dibuat oleh jawatankuasa parti masing-masing dalam Pakatan Rakyat (PR). Jadi perakuan itu yang saya ikuti".
Ditanya sama ada ini akan menjejas hubungan antara PSM dengan Pakatan Rakyat, beliau berkata: "Saya harap tidak".
PSM belum menyertai PR tetapi pengerusinya Dr Mohd Nasir Hashim dan anggota jawatankuasa pusat Dr Michael Jeyakumar Devaraj, bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya umum 2008.
Nasir memenangi kerusi negeri Kota Damansara di Selangor sementara Dr Jeyakumar kerusi parlimen Sungai Siput di Perak daripada presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.
Ditanya sama ada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih memenuhi 25 peratus dari 288 kerusi majlis tempatan, Khalid berkata ya.
Khalid berkata beliau sedar memang terdapat rungutan tetapi menjelaskan sementara orang-orang ini adalah anggota parti, mereka adalah juga sebahagian daripada NGO, dan PKR membenarkan anggota-anggotanya memegang jawatan dalam politik dan NGO.
"Misalnya, Syed Shahir Syed Mohamud, presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), adalah juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR," tambahnya. - BERNAMA
Baca Lagi...
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu