Oleh Salhan K Ahmad
Pakatan Rakyat mempertikaikan tindakan kerajaan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) semalam, yang didakwa 'dicedok' daripada kandungan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) Pakatan.
Ia juga didakwa diumumkan dengan membelakangkan kepentingan parlimen, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pakatan rakyat mengemukakan agenda ekonomi Malaysia dan melihat bahawa banyak pandangan yang kita kemukakan dicedok dalam NEM, hinggakan ayat-ayat dan frasa pun ada persamaan," katanya.
Antaranya ialah keperluan untuk mencapai pendapatan tinggi, pembinaan ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, dan juga tumpuan untuk memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum.
"Model Ekonomi Baru yang Datuk Seri Najib umumkan hampir sama," katanya lagi.
Je
lasnya, Pakatan tidak mempertikai frasa atau ayat yang digunakan dalam laporan berkenaan.
"Tapi persoalannya ialah bahawa persamaan kenyataan itu hanya pada kenyataan, tidak pada program yang konkrit, tidak ada perubahan besar dasar.
"Tidak ada komitmen untuk mengubah fasiliti awam, tidak disentuh usaha membanteras rasuah yang menyebabkan kehilangan puluhan juta ringgit, iaitu musuh ekonomi negara," katanya.
Lim Kit Siang pula berkata pengumuman berkenaan menunjukkan perdana menteri tidak menghormati institusi parlimen.
"Saya fikir perdana menteri tidak menunjukkan hormat kepada parlimen," katanya
Tambahnya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan wakil rakyat melalui penubuhan jawatankuasa khas pilihan parlimen untuk meneliti dasar berkenaan, sebelum ianya diumumkan kepada rakyat.
"(Untuk) menunjukkan kerajaan serius dengan kedudukan parlimen dan pengasingan kuasa, (perdana menteri) perlu bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa pilihan khas tentang NEM, untuk dapatkan maklumbalas rakyat dan rundingan," katanya.
Pandangan ini dipersetujui presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpendirian bahawa tindakan tersebut bercanggah dengan slogan "rakyat didahulukan" yang dicanang oleh kerajaan.
"Ini bercanggah dengan slogan rakyat diutamakan. Kami adalah wakil rakyat dan ini sangat berkait dengan kepentingan rakyat," katanya.
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri menteri, timb menteri
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan