Bekas Setiausaha Politik Nik Aziz nafi beri nasihat salah

Sabtu, 2 Januari 2010

Utusan sentiasa mencari celah bagaimana mengeruhkan PAS, hanya ahli PAS berfikir sahaja boleh bertenang. - Nabila


KOTA BHARU 1 Jan. - Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Annual Bakri Haron menafikan tindakan beliau meletak jawatan disebabkan tekanan pelbagai pihak selepas memberi nasihat salah kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau meminta semua pihak termasuk anak Nik Abdul Aziz, Nik Abduh melihat kepada fakta iaitu kejayaan Nik Abdul Aziz bertahan sehingga menjadi pemimpin Islam ke-42 popular di dunia dan bukannya membuat tanggapan sendiri berdasarkan 'cakap-cakap'.

Katanya, sekiranya beliau memberikan nasihat yang salah, sudah pasti populariti Mursyidul Am Pas menurun dan tidak dapat bertahan sehingga hari ini.

"Saya minta semua pihak melihat kepada bukti saintifik dan sama-sama berfikir. Sekiranya tidak ada nasihat yang betul daripada saya adakah tok guru (Nik Abdul Aziz) dapat menjadi popular seperti hari ini walaupun saya tidak menafikan beliau mempunyai kekuatan sendiri.

"Kita semua boleh lihat semua bukti ini, sebagai contoh, kedudukan tok guru berdasarkan kaji selidik yang dibuat oleh beberapa pihak termasuk akhbar dan stesen televisyen.

"Analogi yang paling mudah ialah seorang guru Bahasa Inggeris dikatakan teruk tetapi keputusan pelajar semua cemerlang, soalnya adakah dia patut dikatakan teruk, begitu juga dengan kedudukan saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cakap-cakap bahawa peletakan jawatannya disebabkan tekanan pihak tertentu kerana memberikan nasihat yang salah kepada Menteri Besar.

Sebelum ini, Nik Abduh dalam blognya menyerang 'pembantu-pembantu' bapanya dan menyifatkan mereka sebagai sesat kerana memberikan gambaran salah mengenai situasi yang berlaku sekarang.

Ramai pihak melihat ia ditujukan kepada Annual Bakri kerana kedudukannya yang dekat dengan Nik Abdul Aziz.

Pada 3 Disember lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Nik Abdul Aziz menerima nasihat perundangan dan politik yang tidak betul dalam membuat keputusan berhubung beberapa perkara.

Selasa lalu, Nik Abdul Aziz mengesahkan Annual Bakri meletakkan jawatan disebabkan masalah kesihatan anaknya manakala Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Shaiba Yaacob tidak disambung kontrak.

Kekosongan kedua-dua jawatan tersebut secara mendadak mencetuskan polemik baru di negeri ini kerana sebelum itu pelbagai isu sedang diperkatakan termasuk kemelut dalaman PMBK serta tajaan haji.

Malah banyak pihak termasuk laman-laman blog melihat peletakan jawatan Annual Bakri ada kaitan dengan isu menantu Nik Abdul Aziz serta hubungan dengan Datuk Husam Musa, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan.

Ketika diminta mengulas mengenai desas-desus tersebut, Annual Bakri yang berkhidmat lebih 10 tahun di Pejabat Menteri Besar Kelantan menolak untuk memberikan sebarang komen.

"Saya minta semua pihak jangan terpengaruh dengan persepsi dan melihat kepada fakta sebenar, saya meletakkan jawatan disebabkan keadaan anak saya yang sedang tenat dan terpaksa bergantung kepada mesin untuk meneruskan hidup," katanya.

Tambahnya, buat masa sekarang beliau hanya memberikan tumpuan kepada anaknya itu dan tidak menolak kemungkinan untuk menulis buku pengalamannya bertugas sebagai setiausaha politik.



0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan