Najib, Rosmah mengerjakan umrah

Sabtu, 16 Januari 2010

MEKAH 15 Jan. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang melakukan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi, meluangkan masa untuk mengerjakan umrah pada Khamis malam.

Beliau yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, memulakan ibadah itu kira-kira 11 malam dan selesai melakukan tawaf tujuh kali sekeliling Kaabah serta saie dua jam kemudian.

Turut menunaikan umrah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Waktu di Mekah lima jam selepas Malaysia.

Delegasi itu diketuai oleh Jamil Sulaiman Jalal, yang berkata beliau turut menjalankan tugas sebagai mutawif kepada bapa Najib, Allahyarham Tun Razak Hussein, iaitu Perdana Menteri Kedua Malaysia.

Najib adalah Perdana Menteri keenam Malaysia, yang menjawat jawatan itu pada April tahun lepas.

Pemimpin Malaysia itu dijadual menunaikan solat Jumaat dan melakukan tawaf wida' lewat hari ini sebelum berlepas ke Jeddah untuk menghadiri perhimpunan bersama anggota komuniti perniagaan Malaysia di Arab Saudi petang ini.

Lawatan beliau ke Arab Saudi bertujuan menggalakkan hubungan lebih akrab antara Malaysia dan negara yang kaya dengan minyak ini, termasuk dalam bidang ekonomi.

Rombongan beliau turut dianggotai beberapa menteri, pemimpin negeri dan pegawai kanan kerajaan. - BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan